Q&A Berkaitan Prosedur Pendaftaran Nikah Luar Negara

Featured

Q1: Apakah maksud pernikahan luar negara?

A: Pernikahan luar negara bermaksud sebarang urusan pernikahan yang dijalankan di luar negara dengan menggunakan khidmat jurunikah di negara tersebut. Kebanyakan rakyat Malaysia melangsungkan pernikahan di Thailand atas beberapa faktor tertentu.

Q2: Adakah semua pernikahan luar negara perlu didaftar di Malaysia?

A: Ya. Semua pernikahan yang dijalankan di luar negara mesti didaftarkan di mana-mana pejabat agama yang berdekatan dengan alamat tempat tinggal pemohon.

Q3: Mengapa pernikahan luar negara tersebut perlu didaftarkan di Malaysia?

A: Pertama, perlu difahami oleh semua masyarakat bahawa tidak semua pernikahan di luar negara tersebut sah mengikut hukum syarak. Lebih-lebih lagi bagi pernikahan yang menggunakan khidmat sindiket. Oleh itu, semua pasangan yang bernikah di luar negara mesti membuat pengesahan nikah dahulu di mahkamah syariah bagi menentukan nikah tersebut adalah sah mengikut hukum syarak.

Q4: Apakah yang akan berlaku setelah mahkamah mengesahkan pernikahan tersebut sah mengikut hukum syarak?

A: Setelah mahkamah mengesahkan nikah tersebut sah, maka satu perintah akan dikeluarkan oleh mahkamah dan pesangan perlu mendaftarkan nikah di pejabat agama bagi mendapatkan surat nikah Malaysia.

Q5: Apa akan berlaku sekiranya pernikahan tersebut TIDAK SAH mengikut hukum syarak?

A: Sekiranya pernikahan tersebut tidak sah, maka perkahwinan tersebut mesti difaraqkan. Setelah itu, pasangan tersebut perlu melakukan akad nikah baharu sekiranya masih mahu bersama sebagai suami isteri yang sah.

Q6 : Apakah sebab/punca pernikahan tersebut tidak sah?

A: Kebiasaannya sesebuah pernikahan tersebut tidak sah kerana tidak menggunakan wali hakim yang dilantik oleh pemerintah. Kes seperti ini selalu berlaku kepada pernikahan yang menggunakan khidmat sindiket di mana mereka menggunakan wali yang tidak bertauliah.

Q7: Apakah kesan sekiranya pasangan tidak mendaftarkan pernikahan di Malaysia?

A: Terdapat pelbagai kesan yang akan timbul susulan kegagalan pasangan yang berkahwin di luar negara mendaftarkan pernikahan mereka khususnya di Selatan Thailand antaranya:

i.     Tiada sebarang rekod pernikahan di mana-mana pejabat agama Islam di malaysia.

ii.   Menyukarkan membuat sijil kelahiran anak di Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia kerana tidak mempunyai sijil nikah Malaysia.

iii. Menyukarkan proses pendaftaran persekolahan anak kerana setiap pendaftaran tahun 1 perlu kepada sijil nikah ibu bapa.

iv.  Menyukarkan proses sebarang tuntutan di mahkamah bersabit dengan urusan pernikahan, penceraian atau tuntutan harta kerana tidak mempunyai sijil nikah Malaysia.

v.   Isteri digantung tidak bertali tetapi tidak boleh menuntut haknya di Mahkamah Syariah.

vi.    Anak-anak tidak mempunyai Sijil Lahir seperti dilaporkan di media saban hari, akibatnya anak-anak tersebut terjebak dengan masalah sosial kerana lantaran tidak boleh bersekolah di sekolah aliran perdana.

Q8: Bagaimana mahu mendaftarkan pernikahan tersebut mengikut prosedur di Malaysia?

A: Prosedurnya seperti berikut (Contoh bagi pernikahan di Wilayah Songkhla, Thailand):

i. Selesai pernikahan di Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla di Thailand, pasangan akan menerima Sijil Nikah dan Surat Pengesahan Nikah dari Majlis Agama Islam Wilayah tersebut. Surat ini kemudiannya akan dibawa ke Konsulat Malaysia di Songkhla untuk tujuan pengesahan bahawa nikah yang dilakukan adalah sah dan diiktiraf Malaysia. (Mendapat pengesahan Konsulat bukan bermaksud maklumat pernikahan telah diketahui oleh Jabatan Agama Islam di Malaysia. Maklumat pernikahan di Thailand tidak akan direkod di Malaysia selagi tidak melakukan pendaftaran semula di Jabatan Agama Islam Negeri di Malaysia.)

ii. Setelah meneliti dokumen dan berpuashati, pihak Konsulat akan mengeluarkan Surat Pengesahan. Berhati-hati dengan Surat Pengesahan Konsulat Palsu kerana terdapat kes di mana pihak sindiket memalsukan surat pengesahan tersebut.

iii. Bawa semua dokumen tersebut ke Pejabat Agama Islam Daerah di negeri pasangan bermastautin bagi tujuan semakan dokumen dan soal selidik dijalankan. Kemudian, pejabat agama akan keluarkan surat iringan ke Mahkamah Syariah dan Bahagian Penguatkuasaan.

iv. Pemohon menghantar surat iringan ke Bahagian Penguatkuasaan untuk membuka kes perkahwinan berlawanan Akta.

v. Pemohon menghantar surat iringan ke Mahkamah Syariah di daerah berkenaan untuk mendapat pengesahan pernikahan dan perintah daftar pernikahan.

vi. Setelah mendapat perintah daftar daripada Mahkamah Syariah Daerah, pasangan hendaklah hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah semula untuk proses pendaftaran nikah dan pengeluaran sijil nikah.

Q9: Apakah itu Proses 4P yang dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)?

A:  Proses 4P bermaksud Perintah Pengesahan Pendaftaran Perkahwinan.

Pelancaran Proses 4P oleh JAWI

Q10: Apakah tujuan proses ini diwujudkan?

A: Proses 4P ini memberi peluang kepada mana-mana pasangan yang telah berkahwin atau berpoligami tetapi tidak mematuhi Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) untuk membuat pendaftaran perkahwinan mereka di JAWI.

 

Q11: Apakah syarat-syarat permohonan 4P tersebut?

A: Syarat-syarat permohonan 4P adalah seperti berikut:

a) Pemohon bermastautin di Wilayah – Wilayah Persekutuan semasa perkahwinan dijalankan.

b) Perkahwinan yang belum didaftarkan dimana-mana Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di Malaysia.

c) Perkahwinan yang berlaku selepas 28 Jun 1984 iaitu selepas tarikh kuatkuasa Akta Undang–undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).

d) Perkahwinan berlawanan dengan Akta Undang–Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) seperti;

i. Perkahwinan tanpa kebenaran mana–mana Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN)
ii. Poligami tanpa kebenaran Mahkamah Syariah
iii. Perkahwinan yang berlaku di Luar Negara dan tidak didaftarkan selepas tempoh 6 bulan daripada tarikh perkahwinan.

Q12 : Apa yang perlu dibawa untuk pendaftaran perkahwinan melalui Proses 4P di JAWI?

A: Dokumen yang perlu dilampirkan:

i. Kad Pengenalan suami dan isteri.

ii. Muka surat hadapan pasport suami dan isteri beserta tarikh keluar masuk kenegara berkenaan untuk tujuan perkahwinan itu.

v. Surat Perakuan Nikah Luar Negara.

vi. Surat makluman perkahwinan dari Kedutaan /Konsulat Malaysia di negara di mana akad nikah dijalankan.

Q13 : Jika salah seorang pasangan telah meninggal dunia atau hilang tanpa berita, adakah masih boleh didaftarkan perkahwinan di luar negara dahulu yang masih belum didaftarkan?

A: Boleh. Jika salah satu pasangan telah meninggal dunia atau hilang tanpa berita, pasangan yang satu lagi boleh mendaftarkan pernikahan secara sebelah pihak asalkan semua dokumen berkaitan ada bersamanya.

Q14 : Jika Pasangan telah bercerai sebelum didaftarkan serta mempunyai anak, adakah masih boleh didaftarkan perkahwinan di luar negara dahulu yang masih belum didaftarkan?

A: Boleh. Pasangan tersebut mesti membuat pengesahan nikah terlebih dahulu di mahkamah syariah. Sekiranya, perkahwinan tersebut sah, maka pasangan perlu mendaftarkan terlebih dahulu di Pejabat Agama Daerah. Setelah itu, barulah pasangan tersebut boleh membuat pengesahan penceraian di mahkamah. Sekiranya disahkan bercerai, pasangan tersebut mesti mendaftarkan penceraian tersebut di pejabat agama untuk mendapatkan SURAT CERAI.

Q15 : Bagaimana dengan insiatif oleh Jabatan Agama negeri-negeri lain selain Wilayah Persekutuan?

A : Bagi negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menganjurkan Program ‘Jom Daftar Nikah’ yang bermula sejak 1 Ogos hingga 1 November 2017. Program ini bertujuan membantu pasangan yang berkahwin di luar negara tetapi belum mendaftarkan pernikahan mendapatkan surat nikah dalam tempoh tiga bulan. Manakala bagi negeri-negeri lain, setakat ini tiada dijumpai maklumat kempen seperti yang dianjurkan oleh JAWI & JAIS.

Jom Daftar Nikah JAIS 1

Kempen Jom Daftar Nikah oleh JAIS

Q16 : Adakah pasangan akan dikenakan denda jika perkahwinan luar negara tidak didaftarkan atau lewat didaftarkan di Jabatan Agama di Malaysia?

A : Ya. Pasangan yang bernikah di luar negara tanpa kebenaran akan dikenakan denda. Hukuman denda inilah yang menyebabkan ramai yang takut untuk mendaftarkan perkahwinan luar negara di Pejabat Agama. Hukuman denda ini berbeza mengikut enakmen/akta negeri masing-masing. Di Wilayah Persekutuan misalnya, hukuman terbahagi kepada tiga (3) kategori:

1. Perkahwinan tanpa kebenaran mana–mana Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN)

Seksyen 40. AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984: Kesalahan yang berhubungan dengan akad nikah perkahwinan

(2) Mana-mana orang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akad nikah atau yang menjalani suatu bentuk akad nikah dengan sesiapa jua berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi SATU RIBU RINGGIT atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

2.  Poligami tanpa kebenaran Mahkamah Syariah

Seksyen 123. Poligami tanpa kebenaran Mahkamah

Seseorang lelaki, berkahwin lagi di mana-mana jua pun dalam masa perkahwinannya yang sedia ada masih berterusan tanpa mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahulu dari Mahkamah maka dia melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi SATU RIBU RINGGIT atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

3. Perkahwinan yang berlaku di Luar Negara dan tidak didaftarkan selepas tempoh 6 bulan daripada tarikh perkahwinan

Seksyen 35. Tidak hadir di hadapan Pendaftar dalam masa yang ditetapkan

Mana-mana orang yang dikehendaki oleh seksyen 31 hadir di hadapan seorang Pendaftar tidak berbuat demikian dalam masa yang ditetapkan, melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi SATU RIBU RINGGIT atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan bagi kes-kes tersebut akan dikendalikan oleh Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan.

Nota :

1.   Dalam kempen ‘Jom Daftar Nikah’ anjuran JAIS, pendakwaan akan diminimakan yang mana mereka akan mengambil satu sahaja kesalahan utama untuk di dakwa di mahkamah. Sebagai contoh, jika seseorang itu berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dan nikah di Selatan Thailand, kemudian mengemukakan permohonan pendaftaran nikah melebihi tempoh 6 bulan, maka JAIS akan mendakwa satu kesalahan sahaja iaitu berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.

2.   Proses 4P yang diperkenalkan oleh JAWI untuk Wilayah Persekutuan merupakan satu penambaikan, dimana sebelum ini ramai yang keliru sama ada perlu pergi Pejabat Agama dahulu atau ke Mahkamah Syariah dahulu. Kini, dengan Proses 4P, lebih mudah terlebih dahulu terus ke JAWI atau cawangan-cawangan JAWI (Putrajaya/Labuan).

3.  Kesan-kesan buruk akibat tidak mendaftarkan perkahwinan luar negara amat kritikal dalam masyarakat kita sekarang ini, pembelaan terhadap hak isteri dan anak-anak tidak dapat dibantu andai perkahwinan tersebut tidak didaftarkan apatah lagi jika terbukti perkahwinan luar negara tersebut terbukti tidak sah mengikut hukum syarak(sindiket).

4.  Andai kita mengenali atau mengetahui pasangan yang belum mendaftarkan perkahwinan mereka, sebaiknya kita memaklumkan kepada mereka peluang yang ada sekarang ini untuk mendaftarkan perkahwinan mereka. Usah dirisaukan mengenai hukuman ataupun denda seperti yang termaktub, kebiasaanya hukuman/denda yang dikenakan tidaklah membebankan serta boleh dibuat rayuan meringankan hukuman dengan alasan-alasan yang munasabah.

-end-

p/s – Nantikan artikel akan datang mengenai prosedur perkahwinan warganegara Malaysia dengan warganegara asing (khususnya Bangladesh. Indonesia dan pelarian Rohingya(UNHCR).

EMPAT NEGARA TERLIBAT DALAM SEMINAR PERUNDANGAN DAN KEHAKIMAN SYARIAH WANITA NUSANTARA 2021

24 Ogos 2021 | Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan Seminar Perundangan dan Kehakiman syariah Wanita Nusantara 2021 secara dalam talian dengan tema “Wanita: Isu-isu Semasa Perundangan dan Kehakiman Syariah”.

Seminar tersebut dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Pendaftar JKSM, Tuan Hj. Nassir bin Abd Aziz manakala ucaptama perasmian disempurnakan oleh YAA Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar yang merupakan Ketua Hakim Syarie merangkap Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

YAA Dato’ Setia Dr. dalam ucaptama perasmian telah menggariskan beberapa perkara penting untuk dibincangkan secara bersama iaitu peningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan perundangan dan kehakiman Syariah, peningkatan akses keadilan kepada masyarakat terutamanya wanita dan kanak-kanak, penyelesaian alternatif sebagai teras baru perkhidmatan keadilan dan kelestarian perundangan dan kehakiman Syariah di era dan pasca pandemik Covid-19.

YAA Dato’ Setia Dr. turut menyeru kepada semua pegawai-pegawai Syariah wanita agar sentiasa berusaha untuk mencipta inovasi dalam proses penyampaian perkhidmatan manakala prosedur, tatacara dan peraturan sedia ada perlu diperiksa semula, direkayasa (re-engineering) dan diberi nafas baru agar ianya sentiasa memenuhi kehendak ‘stakeholders’ dan juga pelanggan-pelanggan mahkamah

Turut hadir semasa majlis perasmian adalah Yang Mulia Dr. Haji Amran Suadi (Ketua Kamar Agama Mahkamah Agung Republik Indonesia), Yang Berhormat Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim Bin Awang Haji Besar (Ketua Hakim Syarie Negara Brunei Darussalam), ketua-Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah seluruh Malaysia.

Peserta seminar kali ini disertai seramai hampir 400 orang pegawai-pegawai syariah wanita dari seluruh Malaysia, Indonesia, Brunei dan Maldives yang bertujuan mengupas isu-isu semasa melibatkan hal ehwal perundangan dan kehakiman terutamanya melibatkan wanita dan anak-anak.

Selain itu, seminar ini turut bertujuan untuk menilai kembali undang-undang, peraturan dan/atau kaedah yang diaplikasikan bagi isu-isu tertentu, membuka ruang kepada pegawai wanita untuk meneroka peranan dan berkongsi cabaran sepanjang keterlibatan dalam bidang perundangan dan kehakiman syariah serta meneliti prospek kerjaya pegawai wanita dalam bidang perundangan dan kehakiman syariah.

Seramai empat orang pembentang kertas kerja telah terlibat pada seminar kali ini iaitu Ibu Sisva Yetti (Ketua Pengadilan Agama Kupang, Republik Indonesia), Puan Kartini Binti Hj Abdullah (Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Negara Brunei Darussalam), Puan Huzaifa Binti Mohamed (Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Republik Maldives) dan Pn. Hajah Noor Hadina Binti Haji Mohd Zabidi (Pengarah/ Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan).

Para pembentang telah berkesempatan membicarakan tentang peranan dan cabaran Pegawai Perundangan dan Kehakiman Syariah Wanita di dalam Sistem Kehakiman dan Perundangan di negara masing-masing selain berkongsi pengalaman sepanjang menjalankan tugas yang diamanahkan.

Semoga penganjuran Seminar Perundangan dan Kehakiman Syariah Wanita Nusantara ini dapat memberi impak yang besar terhadap jati diri pegawai wanita di samping mewujudkan kebersamaan dalam usaha untuk meningkatan prestasi serta menjulang sistem perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia dan negara nusantara.

PKP 3.0: Mahkamah Syariah Beroperasi Seperti Biasa – KP/KHS JKSM

Kuala Lumpur: Mahkamah Syariah di seluruh negara beroperasi seperti biasa bermula 15 Jun lalu selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyenaraikan urusan kehakiman sebagai aktiviti yang dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang juga Ketua Hakim Syarie Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bagaimanapun berkata, pengoperasian dan prosedur operasi standard (SOP) setiap Mahkamah Syariah negeri bergantung kepada Kerajaan Negeri kerana Mahkamah Syariah tertakluk di bawah kuasa Kerajaan Negeri masing-masing.

“Di peringkat kami, kami cuba menyelaraskan (SOP), namun bergantung kepada kerajaan negeri masing-masing untuk membenarkan pengoperasian dan SOP yang akan ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Susulan penguatkuasaan PKP 3.0 pada 1 Jun hingga 14 Jun, perkhidmatan kehakiman Syariah itu tidak dibenarkan beroperasi kerana tidak disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu. PKP 3.0 kini disambung sehingga 28 Jun.

Mohd Na’im berkata, sebelum ini ada prosiding mahkamah syariah yang dijalankan secara dalam talian namun bergantung kepada persetujuan semua pihak (mahkamah, hakim, peguam dan anak guam).

Pada 14 Jun lalu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dalam kenyataannya meminta supaya MKN membenarkan Mahkamah Syariah dan firma peguam syarie di seluruh negara beroperasi sepanjang PKP 3.0.

Dalam kenyataan itu, Presiden PGSM Musa Awang berkata, kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah bukan hanya tertumpu kepada permohonan pernikahan, perceraian dan rujuk (NCR) tetapi turut meliputi keganasan rumah tangga, permohonan perintah injunksi membabitkan harta, perebutan hak jagaan serta lawatan anak-anak, perintah interim jagaan anak dan lain-lain.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, pihaknya juga sudah mengemukakan cadangan pindaan undang-undang berhubung tatacara prosiding dalam talian kepada Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil.

“Ini kerana buat masa ini, tiada peruntukan undang-undang khusus berkaitan prosiding secara dalam talian di Mahkamah Syariah.

“Namun, pendekatan telah diambil oleh hakim dan mahkamah untuk meneruskan kes secara dalam talian bergantung kepada persetujuan bersama semua pihak-pihak (hakim, peguam dan anak guam),” katanya.

Mohd Na’im berkata, sebagai agensi penyelaras Mahkamah Syariah di peringkat persekutuan, pihaknya telah menyediakan kertas cadangan bagi mendapatkan pandangan hukum atau fatwa berkaitan prosiding dalam talian dan diharapkan fatwa berkenaan boleh dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dalam masa terdekat.

“Dalam masa yang sama, beberapa Jawatankuasa Fatwa negeri seperti Johor, Perak dan Melaka telahpun mengeluarkan fatwa berkaitan keharusan untuk prosiding mahkamah syariah dibuat secara dalam talian dalam keadaan darurat seperti dalam tempoh PKP.

“Pulau Pinang dan Melaka pula telah mewartakan Kaedah-Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Perjalanan Mahkamah Syariah Melalui Teknologi Komunikasi Jarak Jauh) 2021 bagi membolehkan prosiding dalam talian ini diadakan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Na’im berpesan kepada masyarakat supaya menyemak informasi yang jelas berkenaan operasi Mahkamah Syariah di negeri masing-masing sama ada boleh hadir secara jumpa terus atau melalui janji temu.

“Informasi boleh diperoleh melalui hebahan di laman web atau media sosial sesebuah Mahkamah Syariah. Jika memerlukan konsultasi berkaitan perundangan, boleh juga menghubungi peguam-peguam syarie atau talian hotline mahkamah untuk bantuan,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM Bebas Covid 19

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar bebas daripada pandemik koronavirus (Covid-19).

YAA Dato’ Dr. antara individu dikenalpasti sebagai kontak rapat kepada YB Senator Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang disahkan positif Covid-19 pada 5 Oktober lalu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, YAA Dato’ Dr. telah menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 pada Selasa 6 Oktober 2020 di Klinik Kesihatan Putrajaya dan keputusan yang dikeluarkan lewat hari ini didapati negatif.

YAA Dato’ Dr. akan meneruskan kuarantin kendiri sehingga 16 Oktober 2020 mengikut SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pegawai JKSM/JKSN/MSN Diarah Jalani Saringan Covid 19

Putrajaya: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sudah mengenal pasti pegawai jabatan itu, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) serta Mahkamah Syariah Negeri (MSN) yang terbabit dalam Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2020 (PKPSN 2020), untuk ujian saringan pengesahan COVID-19.

Ketua Pengarah dan juga Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dalam satu kenyataan berkata, pegawai terbabit juga sudah diarahkan menjalani tempoh kuarantin seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk menjarakkan diri daripada ahli keluarga dan mematuhi segala prosedur bagi mengelakkan penularan dan jangkitan sekiranya positif, kepada ahli keluarga dan pihak lain.

Program PKPSN 2020 turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang disahkan positif Covid-19 Isnin lalu.

Mohd Na’im berkata, jabatannya mendapat pandangan serta arahan KKM dalam pengendalian isu itu dan dinasihatkan mengenal pasti selain menyenaraikan kontak rapat kepada Zulkifli ketika program itu berlangsung.

Katanya, beliau mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Perkhidmatan dan Operasi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri dan Mahkamah Syariah Negeri secara dalam talian petang semalam dengan dianggotai Ketua Hakim Syarie Negeri-negeri, Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah/Mahkamah Syariah Negeri-negeri, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, wakil Jabatan Bantuan Guaman Malaysia dan wakil Jabatan Pendakwaan Syarie Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, ia bertujuan menilai semula risiko dan menyelaras gerak kerja perkhidmatan dan operasi semua organisasi terbabit susulan pengumuman oleh Zulkifli sebelum ini.

“PKPSN 2020 membabitkan penyertaan seramai 570 Pegawai Syariah dari seluruh Malaysia termasuk urus setia JKSM, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor.

“Persidangan ini diadakan di dua lokasi berbeza iaitu di Hotel Movenpick KLIA, Sepang dan Hotel Pullman Kuala Lumpur, Bangsar dan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah semasa Majlis Perasmian PKPSN 2020 pada 29 September 2020 dan Majlis Perasmian Penutup pada 30 September 2020.

“Penganjuran PKPSN 2020 dilaksanakan secara sangat berhati-hati, dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta dipantau dengan ketat oleh pegawai daripada KKM yang turut berada di lokasi persidangan,” katanya.

Mohd Na’im berkata mesyuarat sama turut bersetuju menyelaras gerak kerja perkhidmatan dan operasi di semua JKSN serta MSN.

Beliau berkata membabitkan perkhidmatan dan operasi, termasuk prosiding perbicaraan, sebutan kes, majlis sulh dan pendaftaran kes, yang membabitkan orang awam, akan berjalan seperti biasa bagi JKSN/MSN yang majoriti pegawainya tidak tersenarai sebagai kontak rapat.

Katanya, ia termasuk JKSN Pahang, Kedah, Perak, Perlis, Melaka, Johor, Kelantan, Sabah kecuali Mahkamah Syariah Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Semporna.

“Perkhidmatan dan operasi, termasuk prosiding perbicaraan, sebutan kes, majlis sulh dan pendaftaran kes, yang membabitkan orang awam akan ditangguhkan bermula 7 hingga 9 Oktober, kecuali di JKSN Terengganu yang ditangguhkan bermula dari 7 hingga 11 Oktober, bagi JKSN dan MSN yang mempunyai majoriti pegawai yang disenaraikan sebagai kontak rapat.

“JKSN dan MSN terbabit ialah di Terengganu, Sarawak (kecuali Mahkamah Tinggi Syariah Sarawak dan Mahkamah Syariah Daerah Sibu), Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan serta Pulau Pinang,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya mengarahkan penangguhan sehingga 31 Oktober ini terhadap semua program latihan, muzakarah, bengkel, pemantauan Arahan Amalan yang membabitkan JKSM, JKSN atau MSN di hotel, institut, pusat latihan atau mana-mana tempat yang membabitkan kehadiran secara fizikal.

Seks Luar Tabii: Mahkamah Persekutuan Benar Lelaki Cabar Enakmen Kesalahan Jenayah Selangor

PUTRAJAYA, 27 Mei  — Seorang lelaki yang menghadapi pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah atas dakwaan melakukan seks luar tabii mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk memulakan prosiding mencabar keperlembagaan peruntukan dalam undang-undang Syariah Selangor yang digunakan untuk mendakwanya.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim (ketika itu hakim Mahkamah Persekutuan) membenarkan permohonan lelaki itu, yang namanya dirahsiakan, untuk memulakan prosiding itu menerusi petisyen terhadap Kerajaan Selangor untuk diisytiharkan bahawa Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1985 adalah tidak sah.

Lelaki itu mendakwa Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang itu.

Dalam penghakimannya bertarikh 14 Mei, Hakim Abang Iskandar berkata permohonan lelaki itu memenuhi dua syarat iaitu kebenaran diperlukan dan adalah perlu kerana pemohon (lelaki itu) telah menunjukkan aduannya melibatkan persoalan sama ada Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor kompeten untuk menggubal undang-undang yang telah tersenarai dalam Senarai Persekutuan.

Beliau juga berkata permohonan itu tidak wajar dianggap, demi untuk keadilan, sebagai semberono atau menyalahgunakan proses mahkamah, dan menurutnya pemohon telah menunjukkan yang dia mempunyai kes yang boleh dihujahkan.

Pada 21 Ogos, tahun lepas Ketua Pendakwa Syarie menerusi pendakwa Syariah memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 28 Enakmen terhadap pemohon di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Pemohon dituduh cuba melakukan persetubuhan luar tabii dengan lelaki lain di dalam sebuah rumah di Selangor pada 9 Nov 2018.

Lelaki itu mengaku tidak bersalah teradap pertuduhan itu dan perbicaraannya di Mahkamah Syariah telah ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonannya untuk mencabar keperlembagaan peruntukan dalam enakmen itu yang digunakan untuk mendakwanya.

Pemohon memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk memulakan prosiding terhadap Kerajaan Selangor di bawah Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan pada 28 Nov, 2019.

Dalam afidavit untuk menyokong permohonannya, lelaki itu berkata Perkara 1, Senarai-Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan membenarkan Undang-Undang  Tubuh Negeri Selangor untuk menggubal undang-undang bagi “penetapan dan hukuman bagi kesalahan-kesalahan dilakukan individu beragama Islam yang bertentangan dengan ajaran agama itu kecuali berhubung perkara-perkara yang telah tersenarai dalam Senarai Persekutuan”.

Pemohon mendakwa Seksyen 28 dalam Enakmen itu adalah perkara yang tersenarai dalam Senarai Persekutuan dan sepatutnya dikemukakan menurut undang-undang persekutuan iaitu Kanun Keseksaan.

Beliau mendakwa Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor telah melangkaui senarai persekutuan dengan menggubal undang-undang yang sudah tersenarai dalam senarai itu.

Sementara itu, kerajaan Selangor yang diwakili  Penasihat Undang-Undang negeri Datuk Masri Mohd Daud, berhujah umat Islam di Malaysia tertakluk pada dua undang-undang iaitu sistem undang-undang sivil dan sistem undang-undang syariah.
Kerajaan negeri berhujah peruntukan dalam Enakmen itu tidak sama dengan undang-undang persekutuan seperti yang ditetapkan dalam Kanun Keseksaan.

Hujah kerajaan negeri, Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor menggubal Seksyen 28 atas asas ia mempunyai bidang kuasa untuk menggubal undang-undang syariah dan seksyen itu (Seksyen 28) digubal untuk menetapkan bahawa perbuatan melakukan seks luar tabii adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Peguam A. Surendra Ananth yang mewakili lelaki itu, semasa dihubungi, berkata susulan kebenaran diberikan Mahkamah Persekutuan, anak guamnya kini perlu memfailkan petisyen untuk perkara itu dibicarakan sepenuhnya.

Beliau berkata petisyen itu akan difailkan akhir minggu ini.
— BERNAMA

Mahkamah Persekutuan putus kanak-kanak Islam tidak sah taraf tidak boleh dibinkan nama bapa

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan seorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf tidak boleh dibinkan nama bapanya.

Dalam keputusan majoriti 4-3 yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf membenarkan sebahagian daripada rayuan Jabatan Pendaftaran Negara, ketua pengarahnya dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Pada 2017, Mahkamah Rayuan memutuskan kanak-kanak Islan yang tidak sah taraf boleh dibinkan dengan nama bapanya dan bukan ‘bin Abdullah’.

Pada 25 Mei 2017, Mahkamah Rayuan membuat keputusan memihak kepada satu pasangan dan anak mereka yang memfailkan semakan penghakiman untuk mendesak Ketua Pengarah JPN menggantikan nama ‘Abdullah’ pada kanak-kanak itu dengan nama bapa kandungnya dalam sijil kelahiran.

Mahkamah Rayuan dalam penghakiman bertulis 25 Julai 2017 memutuskan nama anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah boleh ‘dibin atau dibinti’ nama bapanya, bukannya ‘Abdullah’.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, yang menyampaikan penghakiman itu, berkata, Ketua Pengarah JPN tidak terikat fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk memutuskan nama ‘dibin atau dibinti’ kepada anak luar nikah. – BERNAMA

10 QnA Berkaitan Hadhanah/Hak Jagaan Anak

Soalan 1 : Apakah Pengertian Hadhanah ?


Jawapan :

Dari segi istilah syara telah dijelaskan dalam Kitab Fiqh al-munhaj jilid kedua, muka surat 181 yang menyatakan

والحضانة فى الاصطلاح الشريعة الاسلامية : هي حفظ من لا يستقل بأمر نفسه , وتربيته بمختلف وجوه التنمية والاصطلاح , وتنتهى بالنسبة للصغير الى سن التمييز.
أما رعايته بعد ذلك الى سن البلوغ , فتسمى: كفالة , لا حضانة

Ertinya : Hadhanah dari segi istilah syara’ ialah menjaga seseorang yang tidak dapat menguruskan dirinya dan mendidiknya dengan pelbagai kaedah yang mendatangkan kebaikan kepadanya sesuai dengan perkembangannya. Bagi kanak-kanak kecil hadhanahnya berakhir sehingga mencapai umur mumaiyyiz

Menjaga dan mendidik kanak-kanak selepas umur mumaiyyiz sehingga mencapai umur baligh, tidak dinamakan hadhanah, tetapi dinamakan kafalah.

Di dalam Kitab Mughni Muhtaj, juzu’ kelima, muka surat 191, juga dinyatakan

وشرعا حفظ من لا يستقل بأمور نفسه عما يؤذيه لعدم تمييزه كطفل وكبير مجنون وتربيته

تنمية .أى تنمية المحضون بما يصلحه بتعهده بطعامه وشرابه ونحو ذلك

Ertinya: Hadhanah dari segi syara’ bererti bertanggungjawab menjaga seseorang yang tidak mampu menguruskan dirinya sendiri, oleh kerana masih belum mampu atau tidak mampu membuat pemilihan mana satu yang baik dan mana satu yang buruk, seperti kanak-kanak kecil atau orang dewasa yang gila, dan juga tanggungjawab memberi pendidikan kepada mereka yang berkenaan itu hingga menyebabkan mereka berjaya menjadi manusia yang baik, serta tanggungjawab memberi makan minum dan seumpamanya kepada mereka.


Soalan 2 : Siapakah yang paling berhak terhadap hadhanah?


Jawapan :

Bagi pasangan suami isteri yang telah bercerai dalam keadaan anak mereka samada lelaki ata perempuan masih kecil dan belum mencapai usia mumaiyyiz, maka dalam keadaan seperti ini, ibu adalah lebih berhak menjaganya berbanding orang lain bagi menjaga anak kecilnya sehingga anak kecil itu mencapai umur mumaiyyiz. Alasan yang munasabah berkenaan dengan kenyataan ini ialah :

  1. Seorang ibu mempunyai tahap kasih sayang serta kesabaran yang lebih tinggi berbanding dengan orang lain walaupun si ibu terpaksa menanggung beban untuk menjaga dan mendidik anak itu;
  2. Belaian dari seorang ibu lebih lembut ketika menjaga dan mendidik anaknya. Ibu juga mampu untuk memberi kasih sayang yang lebih sepertimana yang diperlukan oleh bayi tersebut.

Di dalam Kitab Fiqh Islam Wa Adillatuhu juzu’ ketujuh, terbitan Dar al Fikr, muka surat 720 ada menyatakan

الأم أحق بحضانة الولد بعد الفرقة بطلاق او وفاة بالاجماع لوفور شفقتها , الا أن تكون
مرتدة أو فاجرة فجورا يضيع الولد به كزنا وغناء وسرقة ونياحة , أو غير مأنونة ,
بأن تخرج كل وقت, وتترك الولد ضائعا

Ertinya : Ibu lebih berhak menjaga anak-anaknya setelah berlaku perceraian sama ada sebab talaq atau kematian, kerana kasih sayang dan simpati ibu amat mendalam, kecuali ibunya seorang murtad atau perempuan jahat yang boleh membawa kerosakan kepada anak. Umpamanya ia seorang pelacur, penyanyi, pencuri dan peratap, atau keadaannya tidak aman dan terpaksa keluar selalu dengan meninggalkan anak dalam keadaan terbiar.

Soalan 3 : Apakah perkara-perkara yang boleh menggugurkan hak seseorang terhadap hadhanah ?

Jawapan :

Umumnya seseorang ibu adalah berhak untuk mendapatkan penjagaan anak yang masih kecil yang belum mencapai umur mumaiyyiz. Namun hak tersebut akan gugur :

  1. Jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu dan lelaki tersebut bukan mahram dengan kanak-kanak itu;
  2. Jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
  3. Jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
  4. Jika isteri itu murtad;
  5. Jika perempuan itu cuai atau menganiaya kanak-kanak itu.

Soalan 4 : Sekiranya seseorang ibu itu hilang kelayakan hak penjagaannya, kepada siapakah hak tersebut akan berpindah mengikut susunan keutamaan?

Jawapan :

Dalam keadaan ibu hilang kelayakan hadhanahnya, susunan keutamaan kepada hak hadhanah kanak-kanak adalah seperti yang berikut :

(a) nenek sebelah ibu hingga ke atas;

(b) bapa;

(c) nenek sebelah bapa hingga ke atas;

(d) kakak atau adik perempuan seibu sebapa;

(e) kakak atau adik perempuan seibu;

(f) kakak atau adik perempuan sebapa;

(g) anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu sebapa;

(h) anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu;

(i) anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan sebapa;

(j) emak saudara sebelah ibu;

(k) emak saudara sebelah bapa;

(l) waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah atau residuari:

Dengan syarat bahawa penjagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.

Soalan 5 : Apakah kelayakan bagi membolehkan seseorang diberi hak jagaan hadhanah?

Jawapan :Kelayakan bagi membolehkan seseorang diberi hak hadhanah ialah :

(a) dia seorang Islam;

(b) dia sempurna akal;

(c) umurnya melayakkan dia memberi kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;

(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan

(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Soalan 6 : Berapa lamakah tempoh hadhanah ?

Jawapan : Tempoh hadhanah tamat setelah kanak-kanak mencapai umur mumaiyyiz, Apabila kanak-kanak tersebut telah mencapai umur mumaiyyiz, maka kanak-kanak tersebut berhak memilih untuk tinggal dengan samada ibu atau bapa kanak-kanak tersebut, melainkan jika mahkamah syariah memerintahkan selainnya. Dikira umur mumaiyyiz iaitu: tujuh (7) tahun bagi kanak-kanak lelaki dan; Sembilan (9) tahun bagi kanak-kanak perempuan.

Soalan 7 : Jika berlaku perselisihan berkenaan hadhanah kepada siapa pihak-pihak perlu merujuk dan apakah pertimbangan yang diambilkira?

Jawapan :

Jika berlaku perselisihan berkenaan Hadhanah, Mahkamah Syariah merupakan pihak yang mempunyai autoriti dalam memutuskan hadhanah dan pertimbangan utama yang diambilkira oleh pihak mahkamah sudah tentulah kebajikan kanak-kanak tersebut. Selain daripada itu mahkamah juga mengambil pertimbangan tentang kemahuan ibu bapa kanak-kanak dan kemahunan kanak-kanak tersebut sekiranya kanak-kanak tersebut dalam peringkat umur yang boleh menyatakan pendapatnya.

Soalan 8 : Bagaimana sesuatu tuntutan hadhanah itu dibuat dimahkamah dan apakah proses yang perlu dilalui oleh pihak-pihak yang terlibat dalam tuntutan hadhanah tersebut ?


Jawapan :

  1. Isi Borang tuntutan Hadhanah Dan Tarikh Majlis Sulh Akan Ditetapkan Dalam Tempoh 21 Hari
  2. Majlis Sulh Akan Dijalankan Pada Tarikh Yang Ditetapkan Dengan Syarat Kedua-Dua Pihak Hadir . Sekiranya Terdapat Persetujuan, Terma Persetujuan Tersebut Akan Diendorskan Kepada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pada Hari Yang Sama.
  3. Di Hadapan Hakim Tersebut, ( Samada Di Dalam Dewan Bicara Atau Di Dalam Bilik Hakim) Pihak-Pihak Akan Ditanya Berhubung Dengan Persetujuan Tersebut Dan Perlu Menyatakan Persetujuan . Sekiranya Terdapat Pertikaian Berhubung Terma Persetujuan, Hakim Akan Mengarahkan Untuk Sesi Majlis Sulh Sekali Lagi Atau Dibawa Untuk Dibicarakan Di Hari Lain ( Majlis Sulh Gagal)
  4. Sekirnya Tiada Apa2 Pertikaian Di Hadapan Hakim Tersebut, Bayaran Kes Selesai Perlu Dilakukan Dan Perlu Menunggu Perintah Bersih Yang Akan Diposkan Ke Alamat Pihak Plaintif Dan Defendan Dalam Tempoh 14 Hari . Sekiranya Mahu Mengambil Sendiri Perintah Tersebut Perlulah Memaklumkan Kepada Pendaftar Atau Petugas Kaunter Yang Berkenaan.
  5. Manakala, Seandainya Majlis Sulh Gagal Atau Tidak Ada Persetujuan Atau Tidak Hadir Semasa Majlis Sulh Kes Akan Dibawa Ke Mahkamah Yang Berkaitan Untuk Prosiding Perbicaraan.
    Tatacara Perbicaraan
  6. Sebutan Kes : Sebutan Akan Dilaksanakan Di Hadapan Pendaftar. Semasa Prosiding Ini, Pihak Plaintif Dan Defendan Akan Diterangkan Mengenai Prosuder Dan Apa Yang Perlu Dilakukan Oleh Pihak-Pihak Bagi Melancarkan Lagi Prosiding Perbicaraan.
  7. Perbicaraan: Sebelum Prosiding Ini, Defendan Perlu Menfailkan Pembelaan Dan Menyerahkan Sesalinan Kepada Pihak Plaintif. Dan Kepada Mahkamah. Pembelaan Ini Mengandungi Butir-Butir Yang Dipersetujui Dan Tidak Dipersetujui Atau Yang Dinafikan Di Dalam Penyata Tuntutan. Selain Itu, Defendan Juga Boleh Menfailkan Tuntutan Balas Bersama Pembelaan Tersebut.
    Sekiranya Plaintif Mempunyai Isu Untuk Dijawab Terhadap Pembelaan Dan Tuntutan Balas, Tersebut Plaintif Perlu Membuat Jawapan Kepada Pembelaan Dan Tuntutan Balas. Ianya Perlu Diserahkan Sesalinan Kepada Mahkamah Dan Defendan. Selepas Ikatan Dokumen pihak-pihak Yang Mengandungi Kesemua Dokumen-Dokumen Diatas Disamping Apa2 Bukti Bertulis Untuk Dikemukakan .
  8. Keterangan Pihak Plaintif Dan Saksi-Saksi Plaintif: Plaintif Akan Mengemukakan Keterangan Berdasarkan Pliding Atau Penyata Tuntutan . Plaintif Juga Perlu Mengemukakan Pembuktian Secara Bertulis Bagi Menyokong Apa-Apa Dakwaannya Seperti Laporan Polis, Laporan Kesihatan Defendan Dan Lain-Lain Dokumen Yang Lain Yang Menyokong Kepada Sebab-Sebab Ketidaklayakan Defendan Sebagai Penjaga Kepada Anak-Anak. Sekiranya Plaintif Menggunakan Khidmat Peguam, Peguam Plaintif Yang Akan Menyoal Plaintif Berdasarkan Pliding Yang Telah Disediakan Oleh Pihak Peguam. Sekiranya Tidak, Hakim Akan Menyoal Plaintif Sendiri. Terdapat 3 Jenis Soalan Soalan Utama, Soalan Balas Dan Soalan Semula. Soalan Utama Diajukan Oleh Hakim Atau Peguam, Soalan Balas Diajukan Oleh Defendan Atau Peguam Defendan Manakala Soalan Semula Diajukan Oleh Hakim Atau Peguam Plaintif Semula. Soalan Yang Sama Juga Diajukan Kepada Saksi-Saksi Plaintif.
    Arahan Amalan No. 15 Tahun 2006
    Cara Mengambil Keterangan Dalam Perbicaraan Penuh
    Saya Ingin Menarik Perhatian Y.A.A. Kepada Keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia Tahun 2006 Pada 12 Hingga 14 April, 2006 Bersamaan 13 Hingga 15 Rabiulawwal, 1427h Di Shah Alam, Selangor Yang Telah Bersetuju Dan Mengesahkan Untuk Menerima Pakai Arahan Amalan Bahawa Cara Mengambil Keterangan Di Mahkamah Syariah Dalam Perbicaraan Penuh Hendaklah Dengan Mendengar Secara Lengkap Keterangan Plaintif, Defendan Dan Saksi-Saksi Melalui Proses Soal Utama, Soal Balas Dan Soal Semula Berdasarkan Pliding Masing-Masing.
  9. Keterangan Defendan Dan Saksi-Saksi Defendan : Prosuder Yang Sama Seperti Keterangan Plaintif.
  10. Hujahan Pihak Plaintif Dan Defendan : Pihak-Pihak Perlu Mengemukakan Hujahan Bertulis Dan Menyerahkan Sesalinan Kepada Mahkamah Dan Pihak-Pihak.
  11. Penghakiman Atau Keputusan Hakim.
    Begitulah Sukarnya Sekiranya Melalui Proses Perbicaran! Maka Penyelesaian Di Majlis Sulh Itulah Yang Terbaik.

Soalan 9 : Apakah terma-terma yang boleh dimasukkan semasa membuat perintah mahkamah ?

Jawapan :Semasa membuat perintah hadhanah, beberapa terma boleh dimasukkan bagi tujuan pematuhan pihak-pihak terhadap perintah tersebut. Antara terma-terma tersebut ialah :

  1. Tempat kanak-kanak itu akan tinggal dan pelajarannya;
  2. Mengadakan peruntukkan bagi kanak-kanak itu berada buat sementarandalam pemeliharaan dan kawalan seseorang yang lain daripada orang yang diberi jagaan kanak-kanak itu;
  3. Mengadakan peruntukan bagi kanak-kanak itu untuk melawat ibu atau bapa yang tidak diberi jagaan atau seseorang daripada keluarga ibu yang telah mati atau bapa yang tidak diberi jagaan dalam masa yang difikirkan munasabah;
  4. Memberi ibu atau bapa yang tidak diberi hak jagaan atau seseorang daripada keluarga ibu atau bapa yang telah mati atau yang tidak diberi jagaan , untuk berjumpa dan melawat kanak-kanak itu pada masa-masa dan seberapa kerap yang difikirkan munasabah oleh mahkamah;
  5. Melarang orang yang diberi jagaan daripada membawa kanak-kanak keluar dari Malaysia.

Soalan 10 : Siapakah yang berhak ke atas anak yang tak sah taraf?

Jawapan :

Hak hadhanah terhadap anak yang tak sah taraf adalah pada ibu atau saudara-mara ibu.

Ketua Hakim Syarie Kelantan Terima Anugerah Perdana Maulidur Rasul

KUALA LUMPUR: Pakar perundangan syariah, Datuk Daud Muhammad, hari ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2019.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menyampaikan anugerah berkenaan pada sambutan Maulidur Rasul 1441H/2019 peringkat kebangsaan di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini.

Daud yang juga Ketua Hakim Syarie Kelantan, menerima wang tunai RM50,000, trofi dan sijil penghargaan.

Empat lagi penerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun ini, masing-masing menerima wang tunai RM20,000, trofi serta sijil penghargaan.

Mereka ialah ahli akademik, Prof Datuk Dr Asma Ismail; aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye; pelopor Hospital Mesra Ibadah, Datuk Dr Khalid Ibrahim dan aktivis kemanusiaan, Mohd Azmi Abdul Hamid. – BERNAMA

PELAKSANAAN MAHKAMAH RENDAH SYARIAH (BAHAGIAN NAFKAH) DI MAHKAMAH SYARIAH WILAYAH PERSEKUTUAN BERMULA 3 SEPTEMBER 2019

3 September 2019: Mahkamah Rendah Syariah (Bahagian Nafkah) mula beroperasi pada 3 September 2019 di Dewan Mahkamah Rendah Syariah (MRS) Wilayah Persekutuan berdasarkan satu kenyataan media dari Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Untuk makluman, pendaftaran kes pertama pada hari ini akan menggunakan nombor pendaftaran kod kes mahkamah 14005 dan Hakim Syarie pertama yang diamanahkan mengendalikan kes di dewan MRS (Bahagian Nafkah) ialah Tuan Abdullah Zuhdee bin Ab Halim.

Dengan beroperasinya MRS (Bahagian Nafkah) ini dijangka akan memendekkan tempoh penyelesaian kes daripada 14 bulan kepada enam bulan.

Pemerkasaan mahkamah syariah merupakan sebahagian daripada agenda utama kerajaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan keadilan dapat diberikan sebaik mungkin kepada masyarakat.

Melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) juga, Program Pengkhususan Pengendalian Kes Hadhanah dan Nafkah dan Pewujudan Bahagian Penguatkuasaan dan Pelaksanaan diwujudkan.

Selain itu melalui program ini, fasa pasca bicara selepas perintah dikeluarkan juga diberikan penekanan. Perkara ini selari dengan prinsip syariah yang digariskan dalam risalatul qada bahawa tugas mahkamah syariah tidak terhenti setakat mengeluarkan perintah bahkan perlu memastikan perintah yang dikeluarkan itu dilaksanakan sepenuhnya. Justeru pewujudan bahagian penguatkuasaan dan pelaksanaan bersama perjawatan bailif yang tiada di MSWP sebelum ini telah direncana dengan baik untuk program ini.

Adalah diharapkan dengan permulaan pelaksanaan program ini pada hari ini, ia dapat menjadi pencetus kepada usaha pemerkasaan mahkamah syariah di seluruh negara dan mendapat kerjasama semua pihak untuk dilengkapkan serta direalisasikan sebagaimana pakej keseluruhan program yang dirangka.

Sisters in Islam (SIS) gagal cabar fatwa Selangor

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan pertubuhan Sisters In Islam (SIS) untuk mendapatkan semakan kehakiman ke atas fatwa dikeluaran pihak berkuasa Islam Selangor.

Semasa menyampaikan keputusan berkenaan hakim Nordin Hassan berkata Jawatankuasa Fatwa Selangor mematuhi semua prosedur yang ditetapkan semasa mengeluarkan fatwa tersebut.

“Justeru permohonan semakan kehakiman ini ditolak dengan kos RM10,000,” katanya.

Fatwa yang dipertikaikan SIS itu dikeluarkan pada awal 2014. Jawatankuasa Fatwa Selangor memutuskan SIS sebagai “sesat” berdasarkan pendirian pertubuhan berkenaan dalam beberapa isu.

Fatwa tersebut kemudian diwartakan oleh kerajaan negeri pada Julai tahun yang sama.

Ekoran itu SIS memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman atas fatwa tersebut pada kira-kira tiga bulan kemudian bagi mengisytiharkannya sebagai tidak terpakai ke atas sesebuah pertubuhan.

Menurut Nordin, beliau mendapati fatwa dikeluarkan terhadap SIS tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah dan ia dihadkan oleh perlembagaan.

“Perlembagaan Persekutuan menyatakan hal ehwal berkaitan undang-undang syariah berada bawah undang-undang negeri,” katanya.

Ditemui media selepas itu, peguam yang mewakili SIS, A Surendra, berkata ada lima atau enam isu dibangkitkan di depan hakim, termasuk sama ada mahkamah sivil berhak mengkaji semula sesebuah fatwa atau sebaliknya.

Pengarah Eksekutif SIS, Rozana Isa, pula berkata pihaknya sangat kecewa dengan keputusan berkenaan namun ia tidak akan menjejaskan usaha yang mereka lakukan.

“Sudah tentu kami sangat kecewa dengan keputusan berkenaan, tetapi saya tak boleh kata saya terkejut,” katanya.

Sumber: The Malaysian Insights