KADAR MUTAAH: BAGAIMANAKAH MAHKAMAH MEMUTUSKANNYA DI MALAYSIA?

Peruntukan Undang-Undang Berkenaan Kadar Mutaah

Peruntukan seksyen 58 Enakmen undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 merupakan satu-satunya peruntukan berkaitan mutaah atau pemberian saguhati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut. Peruntukan berkenaan hanya menyatakan hak isteri yang diceraikan terhadap mut’ah atau pemberian saguhati daripada suaminya. Bagaimanapun kadar mutaah atau pembayaran tersebut tidak dinyatakan secara khusus tetapi merujuk kepada bentuk wang dalam jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.

Secara umumnya dasar mutaah adalah keredhaan kedua-dua pihak tetapi jika tidak mencapai persetujuan maka penentuan perlu dibuat oleh kadhi atau hakim.

Tidak ada penentuan nas atau dalil tentang kadar atau jumlah mutaah. Oleh itu hakim perlu berijtihad mengenai dengan kadarnya.

Jika sekiranya suami isteri bertikai mengenai kadar jumlah bayaran mutaah maka Qadhi atau Mahkamah boleh menentukan kadar dengan ijtihadnya berdasarkan apa yang sesuai dengan kedudukan atau taraf suami isteri.

Dalam Kitab “Mughni al-Muhtaj’, juzuk 3 muka surat 249

maka apabila bertelingkah kedua pihak tentang kadar, Qadhi hendaklah menentukan mengikut budi bicaranya dan mengambilkira apa yang sesuai dengan keadaan kedua-duanya baik dari sudut kekayaan suami dan kesusahan dan keturunan perempuan dan sifatnya

Ini selari dengan Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 236:

(Yang bermaksud)

Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan”.

Ayat diatas menyatakan kewajipan oleh syarak untuk membayar mutaah kepada isteri yang telah diceraikan. Nas tersebut juga secara umumnya menetapkan bahawa kadar yang ingin ditetapkan tersebut perlulah mengambilkira faktor kemampuan suami atau defendan samada tergolong dalam golongan senang atau susah.

ms6

Di dalam kes Norbee lwn Ahmad Sanusi, Hakim YA Haji Harussani bin Haji Zakaria telah menyatakan bahawa penentuan kadar digariskan oleh syarak dengan nilai kedudukan kaya miskinnya suami dan sifat serta keadaan isteri. Sifat ialah perwatakan dan keadaan pula ialah kedudukan keluarga atau status keluarga dalam masyarakat. Kaya dan miskin ialah nilai semasa dari segi perolehan dan pemilikan.

Setakat ini tidak ada formula atau kaedah yang diguna pakai mengenainya. Oleh kerana itu, maka terdapat pelbagai kaedah atau formula yang cuba digunakan oleh plaintif dalam menjustifikasi tuntutan terhadap jumlah mutaah di Mahkamah Syariah.

Terdapat kes dimana plaintif menggunakan formula kiraan RM untuk sehari/ sebulan dan didarabkan dengan tempoh perkahwinan. Ini juga menjadi amalan yang biasa diguna pakai dalam menilai jumlah tuntutan yang ingin difailkan di Mahkamah Syariah terhadap tuntutan mutaah daripada pihak suami.

Malahan terdapat kes-kes yang diputuskan seperti dalam kes Jalilah lwn Abu Bakar, dimana hakim telah menggunakan formula berkenaan dalam memutuskan jumlah mutaah. Hakim memutuskan bahawa jumlah mut’ah yang perlu dibayar adalah RM 50 sebulan untuk tempoh 8 tahun (mengambilkira keadaan yang berlaku walaupun tempoh perkahwinan adalah kira-kira 15 tahun) dengan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar sebanyak RM 4,800.00.

Manakala dalam kes Ida Hidayati binti Taufiq lwn Ahmad Shukri bin Kassim, plaintif menuntut mutaah berdasarkan 30% daripada pendapatan gaji tahunan defendan didarabkan dengan tempoh perkahwinan. Namun YAA Hakim Dato’ Hj Zohdi bin Hj Toha, Ketua Hakim Syarie, tidak menerima formula atau kaedah penilaian tersebut memandangkan plaintif gagal membuktikan asas tuntutan tersebut sedangkan nas al-Quran tidak menyatakan % banyaknya yang ada hanya ukuran kemampuan dan taraf kedudukan.

Faktor-faktor penilaian kadar mutaah

  1. Kemampuan Suami

Kadar kemampuan suami adalah pada dasarnya dinilai dari segi pendapatan yang ada. Pendapatan tersebut adalah berdasarkan pendapatannya ketika masa bercerai dan bukanlah ketika tuntutan dibuat terhadapnya atau bukanlah berdasarkan baki kepada potongan-potongan.

Adapun jumlah pendapatan yang diambil kira dalam penilaian tersebut adalah pendapatan kasar suami ketika perceraian. Melalui penilaian ini secara umumnya kemampuan atau kedudukan kewangan suami boleh diklasifikasikan kepada 3 jenis iaitu miskin, sederhana dan kaya.  Secara ringkasnya kaya dan miskin ialah nilai semasa dari segi perolehan dan pemilikan.

 

Contoh-contoh yang boleh dirujuk ialah dalam kes Sharifah lwn Zainal Alam, dimana suami/ defendan yang bekerja sebagai pelayan pejabat dengan pendapatan sebanyak   RM 295 sebulan telah diperintahkan untuk membayar mutaah sebanyak RM 500. Manakala dalam kes Syed Bulat lwn Intan, isteri yang diceraikan telah diputuskan untuk menerima mutaah sebanyak RM300 setelah hakim mempertimbangkan pendapatan suami sebanyak RM 335 sebulan dan pendapatan beliau sebanyak RM 500 sebulan.

Selanjutnya, terhadap suami atau defendan yang berada dalam lingkungan sederhana pula adalah menggunakan formula sebulan gaji (100% x gaji bulanan) sepertimana dalam kes Faridah binti Sulaiman lwn Mohd Noh bin Othman, defendan yang berpendapatan RM 10,000 sebulan semasa perceraian adalah berada dalam golongan sederhana. Oleh yang demikian berpendapat plaintif wajar mendapat hak mut’ah sebanyak RM 10,000.00.

Manakala dalam kes Norizam lwn Halim Azman, hakim berpendapat seorang pegawai tentera yang berpendapatan bulan lebih kurang RM 1,500- RM 1,600 sebulan termasuk golongan yang berpendapatan sederhana.

Akhirnya, mereka yang pendapatannya berada dalam lingkungan senang atau kaya maka kaedah sebulan setengan gaji bulanan atau lebih adalah suatu jumlah yang munasabah (150% atau keatas x gaji bulanan).

Mahkamah Rayuan Syariah telah berpendapat bahawa jumlah tawaran mutaah sebanyak RM 36,000 yang ditawarkan oleh suami kepada isteri dalam kes Tengku Puteri Zainah lwn Dato’ seri Mohamed Najib adalah suatu kadar yang munasabah menurut kemampuannya sebagai pegawai kerajaan yang mendapat pendapatan tetap setiap bulan sebanyak RM 16,000.00.

Dalam kes Norma @ Normek binti Ghazali lwn Mohd Zain bin Abdullah, Mahkamah Rayuan Syariah di Kota Bharu telah membatalkan keputusan YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang memberi kadar mutaah sebayak RM 5,000 kepada plaintif. Setelah Mahkamah Rayuan mempertimbangkan kedudukan Responden sebagai golongan yang senang dan dihormati serta mempunyai pendapatan tetap sebanyak    RM 2,4000 sebulan daripada pencen bulanan belas Ahli Parlimen Malaysia bagi kawasan Bachok serta taraf kedudukan yang baik telah memutuskan bahawa jumlah mutaah yang munasabah adalah sebanyak RM 10,000.

kamar

  1. Taraf kedudukan dan sifat isteri

Selain penentuan berdasarkan kemampuan suami sepertimana dibincangkan di atas, hakim juga akan mengambil kira kedudukan dan sifat isteri dalam menilai jumlah mutaah yang diputuskan. Dalam kes Tengku Anum Zaharah lwn Dato Dr. Hussein, YAA Hakim telah membenarkan tuntutan mutaah RM 25,200.00 dengan mengambilkira kedudukan isteri dari keluarga Diraja Pahang dan sumbangan moralnya sehingga suami telah berjaya dalam perniagaan dan diterima oleh masyarakat atasan dan diberi gelaran Dato’.

Dalam kes yang telah diputuskan, YA Hakim berpendapat bahawa walaupun plaintif menuntut asal mutaah sebanyak RM 3 Juta merupakan satu tuntutan yang besar tetapi jika dilihat kemampuan defendan maka adalah terbukti dari nilai sahamnya dalam syarikat yang dimiliki oleh defendan semasa dalam perkahwinan serta dilihat keperluan-keperluan plaintif untuk hidup bersama anak-anaknya dalam dunia serba maju dan moden ini dan kebiasaan hayatnya semasa dalam perkahwinan bersama defendan maka YA Hakim telah mengambil kira semua itu dalam menetapkan kadar mutaah plaintif.

  1. Tempoh berkahwin

Tidak ada nas atau dalil yang menunjukkan bayaran mutaah boleh dibayar berpandukan tempoh lama perkahwinan berkuatkuasa namum dalam kes Ida Hidayati binti Taufik lwn Ahmad Shukri bin Kassim, YAA Hakim dalam kes tersebut telah mengambilkira tempoh perkahwinan dalam memutuskan bahawa pihak plaintif wajar mendapat hak mutaah sebanyak RM 48,000.00 setelah mengambil kira tempoh perkahwinan dan kesengsaraan yang menjadi titik hitam yang mungkin tidak dapat dilupakan seumur hayatnya disamping melihat pendapatan/ kemampuan defendan (sebagai juruterbang MAS yang berpendapatan RM 10,000 sebulan).

Bagaimanapun terdapat juga hakim yang berpendapat bahawa tempoh sesuatu perkahwinan tidak boleh dijadikan salah satu faktor untuk diambil kira dalam menentukan jumlah mutaah yang layak diperolehi oleh seorang isteri.

  1. Sumbangan khidmat isteri terhadap perkahwinan

Khidmat plaintif yang menjadi faktor yang telah diambilkira oleh hakim dalam menilai kadar tuntutan mut’ah plaintif merangkumi khidmat memasak, membasuh dan memelihara anak-anak. Dalam kes Rokiah lwn Mohamed Idris, mahkamah telah membuat penilaian khidmat pemohon atau plaintif kepada defendan dengan hitung panjang pada satu hari satu ringgit, sebulan RM 30 dan dalam satu tahun RM 3,600. Oleh itu mengambilkira khidmat plaintif selama 35 tahun tiga bulan lima hari maka hakim memutuskan jumlah mut’ah sebanyak RM 12,695. Bagaimanapun, rayuan yang dibuat kepada Jawatankuasa Ulangbicara telah dibenarkan setelah mengambil kira aliran keputusan di Malaysia,dan  mengurangkan kadar mutaah tersebut kepada RM 6,500.

YA Hakim juga telah mengambilkira khidmat isteri dalam memelihara anak dengan memasukkan upah menjaga anak sebanyak RM 1,000 sebulan dalam menilai jumlah mutaah yang diberikan kepada isteri.

Kesimpulan

Hak mut’ah adalah hak yang diwajibkan ke atas suami terhadap isteri yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut. Walaupun fuqaha berbeza pendapat terhadap hak untuk mutaah bagi perceraian yang disebabkan oleh pihak isteri, hakim berpendapat bahawa ia bukanlah menjadi isu dalam kebanyakan kes-kes yang dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Isu utama adalah terhadap penentuan kadar yang munasabah untuk dibayar oleh defendan atau suami dalam keadaan tiada persetujuan dicapai terhadap jumlah tersebut. Formula atau kaedah khusus untuk diguna pakai tiada kerana setiap hakim membuat penentuan utama berdasarkan kemampuan defendan. Kemudian dengan mengambilkira kedudukan dan sifat isteri serta faktor-faktor menyumbang yang lain sepertimana dinyatakan di atas iaitu tempoh perkahwinan, sumbangan terhadap perkahwinan dan kedudukan pihak dalam menyumbang kepada perceraian. Namun berdasarkan kajian yang dibuat bolehlah disimpulkan bahawa secara minimum adalah suatu kadar yang tidak membebankan yang bersamaan dengan sebulan gaji defendan. Bagaimanapun sekiranya pendapatan suami adalah tinggi maka bersamaan sebulan setengah atau lebih daripada gaji defendan (bagi pendapatan suami yang bergaji tetap).

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s