PROSEDUR TANGKAPAN KHALWAT

Sebelum kesalahan khalwat disabitkan, terdapat beberapa prosedur yang mesti diikuti oleh pihak yang berkuasa. Apa yang dimaksudkan di sini ialah terdapat beberapa prosedur tangkapan khalwat yang harus diikuti. Sebagai contoh mendapatkan maklumat daripada pemberi maklumat tentang orang yang membuat kesalahan khalwat, tatacara menjalankan siasatan dan sebagainya.

“ketua operasi” ertinya seseorang pegawai yang mengetuai sesuatu operasi penguatkuasaan jenayah syariah;

“Ketua Pendakwa Syarie (KPS)” ertinya pegawai yang dilantik di bawah Akta/ Enakmen/ Ordinan Pentadbiran;

“Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama (KPPA)” dan Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA)” ertinya pegawai yang dilantik sebagai yang sedemikian di bawah Akta/ Enakmen/ Ordinan Pentadbiran;

“PDRM” ertinya Polis Diraja Malaysia;

“ Pegawai” ertinya Pegawai Penguatkuasa Agama;

“Pegawai operasi” ertinya Pegawai Penguatkuasa Agama, pegawai polis dan termasuklah mana -mana orang lain yang terlibat dalam sesuatu operasi;

“Pegawai Masjid” ertinya Naqib Masjid, Imam, Imam Ratib, Bilal dan Pembantu Bilal bagi sesuatu masjid;

“Pegawai Penyiasat” ertinya Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama atau Pegawai Penguatkuasa Agama yang ditugaskan untuk menjalankan penyiasatan;

“Pegawai Perakam” ertinya Pegawai Penguatkuasa Agama yang ditugaskan untuk merakam pernyataan saksi atau OYDS;
“Pendakwa Syarie (PS)” ertinya seorang pegawai yang dilantik di bawah Akta/ Enakmen/ Ordinan Pentadbiran;

“Undang-undang Islam” ertinya Akta/ Enakmen/ Ordinan Pentadbiran Undang-Undang Islam, Akta/ Enakmen/ Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam/ Akta/ Enakmen/ Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah dan Akta/ Enakmen/ Ordinan Tatacara Jenayah Syariah yang sedang berkuatkuasa di negeri -negeri.

1.2 TATACARA PENERIMAAN MAKLUMAT

1.2.1 Mendapatkan Maklumat Daripada Pemberi Maklumat

Bagi tujuan penerimaan sesuatu maklumat, langkah -langkah yang berikut hendaklah diambil:

a. Sesuatu maklumat boleh diterima sama ada secara bertulis atau lisan.

b. Jika pemberi maklumat hadir sendiri dan hendak memberikan maklumat secara bertulis, maka pemberi maklumat hendaklah mengisi borang 5 dan PPA yang bertugas hendaklah memastikan bahawa borang tersebut ditandatangani pemberi maklumat dan olehnya.

c. Jika sesuatu maklumat diterima melalui surat, e-mail, faksimile atau seumpamanya, maka PPA yang menerima maklumat tersebut hendaklah mengepilkan surat,

e-mail atau faksimile tersebut pada borang 5 dan (muka surat 2) borang tersebut hendaklah ditandatangani oleh PPA sebagai pemberi maklumat dan seorang PPA sebagai pemberi maklumat.

d. Selepas sesuatu maklumat secara lisan diterima, tindakan yang berikut hendaklah diambil:

i. Sekiranya pemberi maklumat hadir sendiri, PPA hendaklah mengambil langkah -langkah seperti berikut:

a) Yang diberikan hendaklah diubah ke dalam bentuk bertulis dan hendaklah dibaca kepada pemberi maklumat;

b) Pemberi maklumat hendaklah diberi peluang untuk membetulkan atau membuat penambahan kepada maklumat tersebut; dan

c) Sekiranya ada pembetulan atau penambahan, pindaan itu hendaklah dibuat pada masa itu juga dalam kehadiran pemberi maklumat dan dibaca semula kepada pemberi maklumat. Pemberi maklumat dan PPA yang menerima maklumat itu hendaklah menurunkan tandatangan pada borang tersebut; dan

ii. Jika maklumat diterima melalui telefon, PPA hendaklah mengambil langkah -langkah seperti yang berikut:

a) Mengubah maklumat itu dalam bentuk tulisan;

b) Mencatatkan tarikh dan waktu maklumat itu diterima di dalam borang 5; dan

c) Menandatangani borang tersebut sebagai pemberi maklumat dan ditandatangani oleh seorang PPA yang lain sebagai penerima maklumat.

e. Jika sesuatu maklumat diberikan secara lisan atau bertulis:

i. PPA yang bertugas hendaklah mendapatkan maklumat diri pemberi maklumat, termasuklah nombor telefon atau nombor perhubungan yang lain yang boleh dihubungi semula oleh PPA.

ii. Butir-butir yang berikut hendaklah diperoleh daripada pemberi maklumat –

a) Lokasi tempat yang disyaki berlakunya kesalahan itu termasuk alamat jika ada, dan apa -apa petunjuk yang membolehkan lokasi itu dikenal pasti dengan jelas;

b) Perihal maklumat;

c) Identiti orang yang disyaki (‘OYDS’);

d) Identiti orang lain yang berkenaan, jika ada; dan
e) Apa-apa maklumat lain yang boleh menyokong kes berkenaan.

f. Semua maklumat yang diterima sama ada secara lisan atau bertulis hendaklah didaftarkan di dalam buku daftar maklumat dan hendaklah diberikan nombor pendaftaran.

g. Bagi kesalahan tak boleh tangkap (KTBT), PPA yang menerima maklumat hendaklah –

i. Merujukkan pemberi maklumat kepada Hakim Mahkamah Syariah ; atau

ii. Mengemukakan maklumat tersebut kepada PPA (pegawai penyiasat) untuk mendapatkan kebenaran KPS bagi menjalankan siasatan

h. Bagi kesalahan boleh tangkap (KBT), PPA hendaklah-

i. Jika perlu melaporkan kepada KPS, membuat laporan mengenai maklumat itu dengan seberapa segera yang mungkin kepada KPS dan hendaklah mengambil tindakan seperti yang dinyatakan di dalam subperenggan (h) (iii); atau

ii. jika tidak perlu dilaporkan kepada KPS, terus mengambil tindakan seperti yang dinyatakan di dalam subperenggan (h) (iii)

iii. PPA hendaklah pergi sendiri atau mempertanggungjawabkan seorang pegawai bawahannya untuk pergi ke tempat kesalahan itu dilakukan untuk menjalankan siasatan sebagaimana yang dinyatakan dalam Arahan 5 Tatacara Menjalankan Siasatan.

iv. Walau apa pun peruntukan dalam subperenggan (h) (iii)-

a) Jika PPA berpendapat bahawa sesuatu kes itu tidak berat, PPA tidaklah boleh mengambil tindakan seperti yang dinyatakan dalam subperenggan (h) (iii); dan

b) Jika PPA berpendapat bahawa tiada alasan yang munasabah untuk bertindak dalam kes itu, PPA tidaklah boleh mengambil tindakan seperti yang dinyatakan dalam subperenggan (h) (iii).

i. Sekiranya subperenggan (h) (iv) terpakai, PPA hendaklah menyatakan dalam laporannya, jika ada, sebab-sebab dia tidak boleh mengambil tindakan seperti yang dinyatakan di dalam subperenggan (h) (iii).

1.3 TATACARA MENJALANKAN PENYIASATAN

1.3.1 Tindakan Awal

5. Bagi tujuan tindakan awal siasatan, langkah -langkah yang berikut hendaklah dipatuhi:

a) Mendapatkan arahan daripada KPPA untuk bertindak;

b) Mengenal pasti pegawai untuk bertindak dan melantik Ketua Operasi;
c) Menyediakan kenderaan dan peralatan seperti gari, lampu suluh, kamera dan perkara lain yang diperlukan;

d) Memastikan peralatan tersebut boleh digunakan dan berfungsi dengan baik;

e) Memberi tanggungjawab khusus kepada pegawai tertentu untuk mengendalikan peralatan tersebut semasa tindakan sedang dijalankan; dan

f) Jika PPA berpendapat bahawa sesuatu siasatan itu memerlukan bantuan dan kerjasama pihak PDRM atau agensi penguat kuasa undang–undang yang lain, maka PPA bolehlah mendapatkan bantuan dan kerjasama daripada agensi yang berkenaan.

1.3.2 Taklimat Operasi

6. Tatacara bagi taklimat operasi adalah seperti yang berikut:

a) Sebelum memulakan siasatan, KPPA atau Ketua Operasi hendaklah memberikan taklimat pada masa dan tempat yang bersesuaian dan hendaklah dihadiri oleh semua pegawai operasi;

b) KPPA atau Ketua Operasi hendaklah menerangkan tujuan operasi serta pelan lokasi kepada pegawai operasi yang terlibat;
c) Menentukan tugasan pegawai operasi mengikut kesesuaian tindakan di lokasi;

d) Tindakan pegawai operasi hendaklah berdasarkan kepada arahan yang diberikan oleh KPPA atau Ketua Operasi;

e) Setiap pegawai operasi hendaklah mendengar dengan jelas dan memahami taklimat yang diberikan oleh Ketua Operasi;

f) Jika melibatkan agensi penguat kuasa undang -undang yang lain, pastikan mereka diberikan taklimat dan kefahaman yang jelas bagi maksud penglibatan mereka; dan

g) Jika perlu, mengarahkan suatu kumpulan pegawai operasi untuk berada di dalam premis dalam masa yang munasabah bagi tujuan pemerhatian dan pengecaman OYDS sebelum tindakan selanjutnya boleh diambil.

tkhalwat2

1.3.3 Tindakan Semasa Berada Di Lokasi

7. Bagi tujuan pengautkuasaan semasa berada di lokasi, langkah-langkah yang berikut hendaklah dipatuhi:

a) Sebelum sampai dilokasi, Ketua Operasi hendaklah memaklumkan kehadiran mereka di kawasan itu serta tujuan kepada Ketua Polis Daerah (KPD) atau Ketua Polis Balai (KPB) kawasan yang berkenaan. Jika KPD atau KPB tidak dapat dihubungi,

PPA di ibu pejabat hendaklah dimaklumkan untuk memberitahu kehadiran pegawai operasi di kawasan itu kepada KPD atau KPB kawasan berkenaan;

b) Kegagalan untuk menghubungi pihak polis tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak meneruskan operasi. Operasi hendaklah diteruskan setelah Ketua Operasi memaklumkan dan mendapat izin daripada KPPA;

c) Sebelum memulakan operasi, Ketua Operasi hendaklah memastikan semua pegawai operasi yang terlibat mengambil peranan masing-masing;

d) Ketua Operasi hendaklah memberi salam, memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan kehadiran kepada OYDS atau mana mana orang yang berada di lokasi atau premis, dengan menunjukkan kad kuasa, waran tangkap, atau waran geledah;

e) Jika pegawai operasi mempunyai syak yang munasabah suatu kesalahan telah dilakukan oleh OYDS, tangkapan hendaklah dilakukan dengan apa-apa cara yang munasabah, iaitu dengan cara menyentuh atau mengurung tubuh OYDS, melainkan jika OYDS menyerah diri sama ada dengan perkataan atau melalui perbuatan;

f) Sekiranya mana-mana pegawai yang membuat tangkapan mendapati OYDS tersebut mempunyai senjata berbahaya maka dia boleh mengambil apa -apa senjata berbahaya yang ada pada OYDS dan hendaklah menyerahkan segala senjata yang diambil kepada polis;

g) OYDS tidaklah boleh dikenakan sekatan lebih daripada yang perlu bagi mencegahnya melarikan diri. Jika OYDS menggunakan kekerasan menentang usaha untuk menangkapnya atau cuba mengelakkan penangkapan itu, pegawai operasi bolehlah menggunakan segala langkah yang perlu untuk melaksanakan penangkapan itu, kecuali apa -apa tindakan yang boleh menyebabkan kematian OYDS;

h) Pegawai operasi hendaklah dengan seberapa segera memberitahu OYDS mengenai kesalahan yang disyaki dilakukan serta tanggungjawab OYDS untuk memberikan kerjasama kepada pegawai operasi;

i) Pegawai operasi hendaklah memberitahu OYDS tentang haknya untuk mendapatkan khidmat peguam pilihannya dan menyerahkan senarai peguam syarie yang boleh dihubungi tanpa membuat apa-apa pengesyoran tentang pemilihan peguam kepada OYDS;

j) Pegawai operasi hendaklah mengambil maklumat diri serta maklumat lain daripada OYDS dan mana-mana orang yang berada di dalam premis tersebut. Maklumat tersebut hendaklah dicatatkan dalam buku catatan harian PPA;

k) PPA hendaklah mengarahkan supaya setiap orang yang berada di dalam premis itu ditahan sehingga penggeledahan itu selesai dan jika benda yang dicari itu adalah daripada jenis yang boleh disembunyikan pada tubuh badan seseorang, pemeriksaan badan bolehlah dibuat;

l) Apabila didapati perlu untuk menyebabkan seseorang itu diperiksa, pemeriksaan itu hendaklah dibuat oleh seorang yang sama jantinanya dengan orang yang diperiksa;

m) Menyita dan merekodkan segala benda yang disita berkaitan dengan kesalahan itu dalam suatu senarai yang disediakan. Salinan senarai itu hendaklah ditandatangani oleh pegawai yang membuat sitaan itu dan OYDS, dan hendaklah diserahkan kepada OYDS atas permintaannya;

n) Jika PPA mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa mana -mana orang yang hendak ditangkap itu telah masuk ke dalam atau berada di dalam mana -mana tempat maka PPA hendaklah meminta kerjasama daripada orang yang tinggal ditempat itu atau yang menjaga tempat itu untuk membenarkannya masuk ke tempat itu dan memberikan segala kemudahan yang munasabah untuk penggeledahan dijalankan di dalamnya;

o) Jika kemasukan ke dalam tempat itu tidak dapat dibuat di bawah perenggan (n) di atas dan bagi tujuan untuk mengelakkan OYDS daripada melarikan diri, setelah memberitahu OYDS atau pemilik tempat itu tentang kuasa dan tujuannya, PPA bolehlah (walaupun tanpa waran tangkap) memecah buka mana -mana pintu atau tingkap untuk memasuki dan menggeledah tempat itu, dan menangkap OYDS ; dan

p) PPA atau mana -mana pegawai operasi yang terperangkap di dalam premis tersebut bolehlah memecah buka mana-mana bahagian di dalam premis itu bagi tujuan untuk membebaskan diri.

1.3.4 Tindakan Selepas Tangkapan

8. Selepas tangkapan dibuat, langkah -langkah yang berikut hendaklah diambil:

a) Laporan polis mengenai operasi hendaklah dibuat di balai polis yang mempunyai bidang kuasa;

b) Mengikut kesesuaian sesuatu kes, OYDS bolehlah dibawa bersama ke balai polis yang mempunyai bidang kuasa. Sekiranya OYDS bersedia dengan penjamin, urusan jaminan dan pengambilan butir-butir diri OYDS bolehlah disempurnakan di balai tersebut. Jika keadaan tidak mengizinkan OYDS hendaklah dibawa terus ke pejabat PPA untuk tujuan jaminan dan pengambilan butir -butir diri;

c) Sekiranya OYDS tidak bersedia dengan penjamin, selepas laporan polis dibuat OYDS hendaklah dibawa ke pejabat KPPA untuk tujuan jaminan dan diambil butir -butir dirinya;
d) Jika OYDS tidak dapat mengemukakan penjamin, dia bolehlah diletakkan di bawah jagaan KPPA atau di tempatkan di lokap polis sementara menunggu penjamin dengan syarat jagaan tersebut tidak boleh melebihi dua puluh empat jam daripada masa tangkapan. Sekiranya jaminan tidak dapat disempurnakan dalam tempoh dua puluh empat jam, OYDS hendaklah dengan segera di hadapkan kehadapan seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah untuk dituduh;

e) Semasa di pejabat KPPA, butir-butir diri OYDS hendaklah diambil dan jika perlu, pemeriksaan lanjut boleh dilakukan ke atasnya. Pemeriksaan hendaklah dibuat oleh PPA yang sama jantinanya dengan OYDS dengan memberikan perhatian tegas tentang kesopanan:

f) Jika siasatan menunjukkan bahawa suatu kesalahan telah dilakukan oleh OYDS, maka pertuduhan terhadap OYDS hendaklah disediakan dalam tempoh dua puluh empat jam; dan

g) Jika pertuduhan bagi KBT tidak dapat disediakan dalam tempoh dua puluh empat jam, maka OYDS boleh dilepaskan atas bon atau jaminan atau perintah bertulis seorang Hakim atau KPPA atau seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada inspektor.

1.3.5 Pelepasan OYDS Selepas Tangkapan

9. OYDS bolehlah dilepaskan dengan cara-cara yang berikut:

a) Pelepasan dengan bon

Jika PPA berpendapat OYDS layak dilepaskan dengan bon, OYDS dikehendaki untuk menandatangani suatu bon untuk hadir pada masa, tarikh dan tempat yang dinyatakan dalam bon tersebut;
b) Pelepasan dengan jaminan

Jika PPA berpendapat OYDS layak dilepaskan dengan jaminan, OYDS dan penjaminnnya hendaklah menandatangani suatu borang jaminan yang mengandungi nama penjamin dan jumlah jaminan yang ditetapkan yang akan dikuatkuasakan jika OYDS gagal hadir pada masa, tarikh dan tempat yang dinyatakan dalam borang jaminan tersebut; atau

c) Pelepasan dengan perintah bertulis hakim, KPPA dan pegawai polis (inspektor ke atas)

OYDS bolehlah dilepaskan melalui perintah bertulis daripada Hakim, KPPA atau pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada inspektor, dengan menetapkan syarat -syarat yang difikirkan perlu.

1.3.6 Waran Geledah

10. Bagi tujuan memohon waran geledah, langkah -langkah yang berikut hendaklah dipatuhi oleh PPA:

a) Meneliti maklumat yang diterima bagi tujuan memohon waran geledah;

b) Jika berdasarkan maklumat yang diterima dan siasatan yang dijalankan, PPA mendapati bahawa waran geledah adalah diperlukan, waran geledah hendaklah dipohon daripada Hakim Mahkamah Syariah;
c) Menyediakan alasan bertulis atau surat permohonan untuk memohon waran geledah daripada Hakim dengan memberikan alasan yang munasabah, yang boleh menyebabkab Hakim mempercayai bahawa sesuatu kesalahan telah dilakukan di sesuatu tempat atau premis atau sesuatu benda perlu disita dari mana-mana tempat atau premis;

d) Semasa melaksanakan waran geledah, penghuni hendaklah dibenarkan hadir bersama dan memastikan benda-benda yang disita dicatatkan dalam senarai yang disediakan. Senarai itu hendaklah ditandatangani oleh tuan punya barangan yang berkenaan dan PPA; dan

e) Menyerahkan benda-benda yang disita kepada pegawai penyiasat.
1.3.7 Tindakan Menamatkan Siasatan
11. Setelah tamat siasatan bagi sesuatu kes hasil daripada maklumat awam, tindakan yang berikut hendaklah diambil:

a) Ketua Operasi hendaklah melaporkan hal yang demikian itu kepada ibu pejabat atau pejabat penguatkuasa untuk tujuan rekod dan seterusnya kepada Ketua Unit Siasatan (KUS) atau KPPA dengan kadar yang segera;
b) Pegawai yang menerima laporan di bawah perenggan (a) hendaklah tanpa kelewatan yang munasabah mencatatkan laporan tersebut ke dalam buku laporan siasatan yang disediakan;

c) Setelah laporan dalam perenggan (a) dibuat, pegawai penyiasat hendaklah menyerah kertas siasatan kepada KUS atau KPPA untuk arahan selanjutnya;

d) Jika KUS tidak berpuas hati dengan siasatan tersebut, kertas siasatan tersebut hendaklah dirujuk semula kepada pegawai penyiasat dengan arahan selanjutnya;

e) Setelah menjalankan siasatan lanjut, pegawai penyiasat hendaklah menyerahkan semula kertas siasatan kepada KUS yang seterusnya akan merujukkan kepada KPPA;

f) Setelah KPPA meneliti dan berpuas hati dengan siasatan sesuatu kes, kertas siasatan tersebut akan dirujuk kepada KPS untuk tindakan selanjutnya; dan

g) Apabila siasatan telah selesai dijalankan dan KPS telah membuat keputusan untuk mendakwa dan OYDS masih belum ditangkap maka suatu waran tangkap hendaklah dipohon oleh pegawai penyiasat untuk membolehkan OYDS dihadapkan ke mahkamah.

tukul3

1.4 TATACARA BERKAITAN PENYEDIAAN KERTAS SIASATAN

1.4.1 Penyediaan Kertas Siasatan

12. Untuk menyediakan kertas siasatan, perkara -perkara yang berikut hendaklah dipatuhi:

a) Bagi KTBT, kertas siasatan hendaklah dibuka oleh pegawai penyiasat atas arahan KPPA dan setelah mendapat perintah KPS;

b) Bagi KBT, kertas siasatan hendaklah dibuka oleh PPA (pegawai penyiasat) setelah mendapat arahan daripada KPPA dan setelah maklumat mengenai kesalahan -kesalahan tersebut dilaporkan kepada KPS kecuali bagi kesalahan tertentu yang KPS arahkan tidak perlu dilaporkan kepadanya;

c) Berdasarkan kepada perintah atau arahan tersebut, pegawai penyiasat hendaklah memulakan siasatan dengan merujuk kepada maklumat yang terdapat dalam borang 5 atau laporan polis;

d) Pegawai penyiasat hendaklah dari hari ke hari mencatatkan prosiding penyiasatannya dalam buku harian penyiasatan dengan menyatakan-

i. Waktu perintah, jika ada, atau arahan untuk menjalankan penyiasatan itu sampai kepadanya;

ii. Waktu dia memulakan dan mengakhiri penyiasatan itu;

iii. Tempat atau tempat-tempat yang dilawati olehnya;

iv. Orang atau orang -orang yang disoal olehnya; dan

v. Pernyataan mengenai hal keadaan yang dipastikan melalui penyiasatannya.

e) PPA (pegawai penyiasat) hendaklah memastikan kertas siasatan mengandungi perkara -perkara yang berikut:

i. Borang 5 dan perintah atau arahan menyiasat;

ii. Laporan polis;

iii. Waran geledah (jika ada);

iv. Senarai atau borang sitaan;

v. Butir-butir diri orang yang hendak disiasat;

vi. Senarai barang kes;

vii. Rakaman percakapan saksi;

viii. Ringkasan fakta kes;

ix. Catatan harian pegawai penyiasat; dan

x. Pelan lokasi, gambar, pelan lakar, laporan pakar (jika ada) dan dokumen lain yang berkaitan.

f) Mencatatkan prosiding siasatan mengikut urutan tarikh dan masa dalam buku harian penyiasatan;

g) Menyenaraikan segala keterangan yang perlu disediakan berdasarkan kes;

h) Mengumpulkan maklumat serta dokumen seperti salinan borang 5, pelan lakar, gambar dan benda yang disita;

i) Menghubungi jabatan yang berkaitan bagi mendapatkan laporan yang perlu seperti laporan kimia, laporan perubatan dan lain -lain;

j) Memastikan setiap dokumen dan setiap laporan yang dinyatakan di dalam perenggan (h) dan (i) ditandatangani untuk pengesahan oleh pegawai yang berkenaan;

k) Menyenaraikan saksi mengikut keutamaan dan mengeluarkan surat panggilan untuk saksi hadir bagi tujuan siasatan; dan

l) Melengkapkan kertas siasatan tanpa kelengahan yang munasabah dan melaporkan hasil siasatan tersebut beserta syor kepada KPPA untuk tindakan yang selanjutnya.
1.4.2 Kandungan Kertas Siasatan

13. (1) Kandungan kertas siasatan hebdaklah mengandungi folio yang berikut:

a) Kertas minit;

b) Folio A: borang 5 atau laporan polis (pol 55);

c) Folio A1: percakapan saksi;

d) Folio B1: butiran maklumat dan pernyataan OYDS atau pengakuan
OYDS di hadapan Hakim;

e) Folio C1: buku harian penyiasatan;

f) Folio D1: dokumen;dan

e) Indeks

(2) Contoh kandungan kertas siasatan adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.

3.4.3 Rakaman Pernyataan Saksi

14. Semasa merakamkan pernyataan saksi, pegawai perakam hendaklah mematuhai perkara-perkara yang berikut:

a. Mengingatkan saksi tentang tanggungjawabnya disisi undang-undang
untuk memberikan pernyataan yang benar semasa menjawab setiap soalan yang diajukan sebelum memulakan rakaman pernyataan saksi;

b. Mendapatkan maklumat diri saksi secara ringkas dengan mencatatkan nama, alamat, nombor kad pengenalan, umur dan pekerjaaan;

c. Memaklumkan kepada saksi bahawa dia dikehendaki menjawab semua soalan yang dikemukakan;

d. Mendapatkan fakta yang relevan dengan kes;

e. Jika saksi tersebut merupakan orang awam yang disangka mengetahui fakta dan hal keadaan kes itu, pegawai perakam hendaklah mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan kejadian yang disiasat dan pengetahuannya mengenai kejadian tersebut;

f. Jika saksi tersebut merupakan pegawai operasi yang terlibat dalam kes berkenaan, pegawai perakam hendaklah mendapatkan butiran mengenai apa-apa tugasan yang perlu dibuat atau arahan pada waktu kejadian serta bilangan pegawai yang terlibat;

g. Merakamkan peryataan saksi dalam bahasa yang difahami oleh saksi. Jurubahasa hendaklah disediakan jika saksi memerlukan khidmat jurubahasa;

h. Mengubah pernyataan yang dibuat oleh saksi ke dalam bentuk bertulis;

i. Membaca semula kepada saksi rakaman pernyataan yang telah dibuat olehnya dalam bahasa yang dia telah membuatnya dan memberi peluang kepada saksi tersebut untuk membuat apa -apa pembetulan kepada rakaman pernyataan tersebut dan menurunkan tandatangan ringkas di tempat pembetulan tersebut;

j. Meminta saksi dan juru bahasa (jika ada) menandatangani rakaman pernyataan tersebut di hadapan dua orang saksi dan dua orang saksi itu hendaklah menurunkan tandatangan mereka;

k. Pegawai perakam hendaklah memastikan tandatangannya dan tandatangan saksi diturunkan pada setiap hujung catatan itu dan tiada ruang kosong ditinggalkan tanpa tandatangan;

l. Pegawai perakam hendaklah menandatangani rakaman pernyataan tersebut selepas saksi, jurubahasa (jika ada) dan dua orang saksi menandatangani pernyataan tersebut; dan

m. Jika ada barang kes yang diketahui perlu diperolehi semasa proses rakaman pernyataan saksi, pegawai perakam hendaklah memaklumkan kepada pegawai penyiasat untuk membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah bagi mengeluarkan waran geledah untuk mendapatkan barang kes tersebut.
1.3.4 Butiran Maklumat OYDS

15. Sebelum merakamkan pernyataan OYDS, PPA bolehlah mendapatkan maklumat-maklumat yang berikut;

a) Butiran diri OYDS;

b) Masa, tempat dan tarikh kejadian tersebut berlaku;

c) Dokumen-dokumen yang diperlukan seperti sijil pernikahan, sijil perceraian, sijil kelahiran dan sebagainya.

1.3.5 Rakaman Pernyataan OYDS

16. Semasa merakamkan pernyataan OYDS, perkara-perkara yang berikut hendaklah dipatuhi;

a) Pegawai penyiasat hendaklah menentukan pegawai yang akan mengambil rakaman pernyataan OYDS sekiranya rakaman pernyataan OYDS tidak dibuat oleh pegawai penyiasat sendiri;

b) Mengambil pernyataan OYDS di bilik siasatan atau ditempat yang bersesuaian;

c) Tidak boleh memberi atau membuat apa-apa dorongan, ancaman atau janji kepada OYDS untuk mendorong OYDS membuat apa-apa pernyataan berkaitan dengan kesalahan yang disyaki terhadapnya;

d) Pegawai perakam atau orang lain tidak boleh menghalang atau tidak menggalakkan OYDS, dengan memberi amaran atau sebagainya terhadap OYDS untuk membuat atau tidak membuat pernyataan atas kemahuannya sendiri;

e) Memastikan bahawa OYDS memahami maksud perenggan (c) di atas dan mengetahui bahawa dia membuat pernyataan kepada pegawai perakam bukan atas sesuatu paksaan, dorongan atau janji oleh mana -mana pihak. Setelah OYDS memahami maksud di bawah perenggan (c) tersebut, pegawai perakam dan OYDS hendaklah menurunkan tandatangan mereka.

f) Mewujudkan suasana harmoni dan mesra, contohnya berbual dengan OYDS dahulu sebelum bertanyakan soalan -soalan yang berkaitan dengan kes kepada OYDS;

g) Merakamkan pernyataan OYDS dalam bahasa yang difahami olehnya, jurubahasa hendaklah disediakan jika OYDS memerlukan khidmat jurubahasa;

h) Mencatatkan semua jawapan OYDS;

i) Jika jawapan tidak diperolehi daripada OYDS daripada soalan yang ditanya, soalan tersebut hendaklah dicatatkan dengan catatan ‘tiada jawapan’;

j) Membacakan pernyataan atau memberi peluang kepada OYDS untuk membaca pernyataan yang dicatat;
k) Memberi peluang kepada OYDS sama ada hendak mengubah atau menambah pernyataannnya;

l) Jika ada perubahan atau penambahan pada pernyataan itu, catatkan perubahan atau penambahan tersebut dan meminta OYDS menurunkan tandatangan ringkas OYDS di kiri atau kanan catatan itu;

m) Selepas OYDS membaca keseluruhan pernyataannya dan dia berpuas hati dengan pernyataan tersebut, maka OYDS dan jurubahasa (jika ada) hendaklah menurunkan tandatangannya;

n) Pegawai perakam hendaklah memastikan tandatangannya dan tandatangan OYDS diturunkan pada setiap hujung catatan itu dan tiada ruang kosong ditinggalkan tanpa tandatangan;

o) Pegawai perakam hendaklah menurunkan tandatangan ringkas setiap kali OYDS menurukan tandatangan ringkasnya;

p) Sekiranya OYDS mengadu tidak selesa semasa rakaman pernyataan dibuat atas sesuatu sebab seperti lapar, ingin ke tandas dan sebagainya, pegawai perakam hendaklah menangguhkan rakaman pernyataan dan memberi peluang kepadanya untuk menyelesakan diri atau untuk apa-apa perkara lain yang difikirkan munasabah. PPA hendaklah sentiasa mengawasi OYDS bagi mengelakkan OYDS dari melepaskan diri;

q) Sekiranya rakaman pernyataan perlu ditangguhkan ke suatu tarikh yang lain, maka penangguhan tersebut hendaklah dimaklumkan kepada pegawai penyiasat;
r) Pegawai perakam boleh melepaskan OYDS dengan jaminan atau bon untuk dia menghadirkan diri pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan;

s) Menyambung semula rakaman pernyataan dengan mengambil langkah sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (c) dan (d) di atas;

t) Jika ada barang kes yang diketahui perlu diperoleh semasa proses rakaman pernyataan, pegawai perakam hendaklah memaklumkan kepada pegawai penyiasat untuk membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah bagi mengeluarkan waran geledah untuk mendapatkan barang kes tersebut; dan

u) Pegawai perakam hendaklah memaklumkan kepada pegawai penyiasat untuk membawa OYDS yang ingin merekodkan pernyataan atau pengakuan salah ke hadapan Hakim Syarcie untuk direkodkan pernyataan tersebut di hadapan dua (2) orang saksi, sebelum perbicaraan.

1.3.5 Semakan Kertas Siasatan

17. Bagi memastikan kertas siasatan lengkap dan teratur, pegawai penyiasat hendaklah membuat semakan terhadap perkara-perkara yang berikut:

a) Setiap fail kes mengandungi dokumen utama seperti salinan borang 5, laporan polis, keterangan saksi dan OYDS, serta dokumen lain yang berkaitan dengan kes termasuk borang atau senarai sitaan, senarai barang kes, buku harian penyiasatan (ID), senarai nama saksi, bon jaminan, laporan pakar, salinan pengenalan diri saksi dan OYDS yang hendaklah disahkan oleh pegawai berkenaan;

b) Memastikan terdapat nombor daftar kertas siasatan, nama OYDS, jenis kesalahan dan nama pegawai penyiasat;

c) Mematikan terdapat catatan tarikh sebutan, jaminan atau bicara dimuka sebelah luar kulit fail kes;

d) Memastikan terdapat catatan laporan ringkas kes di muka sebelah dalam fail;

e) Memastikan terdapat nama -nama saksi serta alamat dalam kertas siasatan;

f) Memastikan terdapat senarai semak kandungan keterangan yang terdapat dalam kertas siasatan dan hendaklah disusun mengikut keuntamaan; dan

g) Memastkan terdapat catatan senarai barang kes yang sama seperti kandungan dalam borang atau senarai sitaan.
1.3.6 Buku Harian Penyiasatan

18. Adalah menjadi kewajipan setiap pegawai penyiasat untuk membuka buku harian penyiasatan bagi setiap kes yang disiasat dan mengemaskinikannya dari hari ke hari serta mencatatkan prosidingnya dalam buku harian penyiasatan.

1.4 PENYEDIAAN LAPORAN RINGKAS KES

19. Penyediaan laporan ringkas kes hendaklah mengandungi perkara-perakra yang berikut:

a) Sinopsis kejadian, contohnya di mana dan bila kejadian berlaku, siapa yang terlibat dalam kejadian dan apa yang berlaku ditempat kejadian;

b) Fakta- fakta yang relevan berkenaan sesuatu kesalahan; dan

c) Rumusan iaitu kekuatan dan kelemahan sesuatu kes untuk pertimbangan KPPA.

1.5 TATACARA PENGENDALIAN BARANG YANG DISITA

1.5.1 Pengendalian Barang Yang Disita

20. Semasa mengendalikan barang yang disita, perkara -perkara yang berikut hendaklah dipatuhi:

a) Pegawai yang membuat sitaan hendaklah menyerahkan senarai segala benda yang disita kepada pegawai penyiasat;

b) Pegawai penyiasat hendaklah menyemak dan meneliti benda yang disita berpandukan senarai atau borang sitaan;

c) Memastikan keadaan benda yang disita dalam keadaan asal seperti ketika diterima;

d) Benda yang disita hendaklah diberikan nombor dan dicatatkan tarikh penyerahan pada labelnya;

e) Mendaftarkan benda yang disita serta melekatkan label, nombor barang, tarikh, masa, alamat tempat kejadian dan nombor fail kes;

f) Memastikan benda yang disita adalah sama dengan yang terdapat dalam senarai atau borang sitaan;

g) Mengeluarkan barangan yang mudah rosak satu persatu dengan mengambil gambar secara berasingan;

h) Membuat catatan bila gambar diambil;

i) Menghantar benda yang disita ke Jabatan Kimia (jika perlu);

j) Mendapatkan keputusan rasmi barangan yang dianalisis;

k) Memastikan setiap benda yang disita diserahkan kepada dan yang diterima dari Jabatan Kimia dimeteraikan dan dilakerikan dengan meterai Jabatan;

l) Akauan penerima dan penyerahan benda yang disita bagi setiap transaksi hendaklah dicatatkan dan ditandatangani oleh pemberi dan penerima benda yang berkenaan; dan

m) Memasukkan laporan analisis keputusan dalam kertas siasatan.

1.5.2 Penyimpanan Benda Yang Disita

21. Bagi tujuan penyimpanan benda yang disita, perkara-perkara berikut hendaklah dipatuhi:

a) Mendaftarkan benda yang disita dalam buku rekod benda yang disita;

b) Memasukkan benhda yang disita (jika perlu) dalam sampul dan dimeterai;

c) Memastikan benda yang disita disimpan di dalam tempat atau bilik barang kes yang selamat dan berkunci. Bagi barang-barang yang mudah rosak pastikan ia disimpan di dalam peti sejuk sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan; dan

d) Kunci bilik barang kes hendaklah dari jenis yang tidak boleh dibuat pendua dan hendaklah disimpan oleh pegawai yang diberi kuasa menjaga bilik barangan kes sahaja.

1.5.3 Penyeliaan Barang Yang Disita

22. Bagi tujuan penyeliaan benda yang disita, perkara-perkara yang berikut hendaklah dipatuhi:

a) Benda yang disita hanya boleh dikeluarkan daripada bilik barang kes atas arahan KPPA atau pegawai yang diberi kuasa sahaja;

b) Benda yang disita hendaklah dibawa ke mahkamah atau ke tempat- tempat lain yang perlu bagi tujuan siasatan dalam keadaan yang selamat dan hanya boleh dibawa oleh pegawai penyiasat atau PPA lain yang diberi kuasa sahaja; dan

c) Rekod keluar dan masuk benda yang disita hendaklah dicatatkan dalam buku rekod barang yang disita oleh pegawai yang diberi kuasa untuk menjaga bilik barang kes.

1.5.4 Pelupusan Benda Yang Disita

23. (1) Bagi tujuan pelupusan benda yang disita, perkara-perkara yang berikut hendaklah dipatuhi:
a) Benda yang disita yang menjadi eksibit-

i. Benda yang disita hanya boleh dilupuskan atas arahan mahkamah sama ada dilucuthakkan atau dirampas atau dimusnahkan atau diserahkan kepada mana-mana orang;

ii. Sekiranya mahkamah memerintahkan supaya benda yang disita tersebut dilupuskan oleh pihak PPA, arahan bertulis daripada KPS hendaklah diperoleh terlebih dahulu sebelum benda yang disita tersebut dilupuskan;

iii. KPS hendaklah menetapkan masa dan tempat untuk pelupusan benda yang disita;

iv. Pelupusan benda yang disita tersebut hendaklah disaksikan dan diperakui oleh pegawai yang diberi kuasa;

v. Menyediakan laporan pelupusan tentang benda yang disita dan menyimpannya dalam kertas siasatan yang berkenaan;

vi. Pegawai yang diberi kuasa menjaga bilik barang kes hendaklah merekodkan pelupusan benda yang disita dalam buku rekod benda yang disita berdasarkan laporan pelupusan yang telah diperakui oleh pegawai yang diberi kuasa;

vii. Jika mahkamah tidak membuat perintah tentang pelupusan sesuatu benda yang disita itu, benda yang disita itu hendaklah diserahkan kepada pendakwa yang bertanggunjawab bagi prosiding itu dan
bolehlah diperlakukan oleh pendakwa itu mengikut tatacara pelupusan barang kes yang diperuntukan dalam Akta/ Enakmen/ Ordinan Tatacara Jenayah Syariah yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri seolah-olah mahkamah itu telah membuat perintah sedemikian;dan

viii. Jika pendakwa pada bila-bila masa ragu-ragu tentang cara yang patut bagi melupuskan mana-mana barang kes, atau jika mana-mana orang menuntut supaya diserahkan kepadanya mana-mana barang kes dan pendakwa enggan membuat penyerahan sedemikian, maka pendakwa atau orang itu boleh memohon kepada mahkamh yang memutuskan kes itu dan mahkamah itu hendaklah membuat apa-apa perintah berkenaan dengan pelupusan barang kes itu sebagai mana yang patut.

b) Bagi benda yang disita yang tidak dijadikan eksibit-

i Dalam keadaan di mana benda yang disita tidak dikemukakan sebagai eksibit di mahkamah, benda yang disita itu hendaklah disimpan dalam bilik barang kes sehingga selesai perbicaraan; dan

ii Setelah perbicaraan selesai, benda yang disita itu hendaklah dilupuskan dengan cara yang sama seperti yang dinyatakan dalam perenggan (1)(a).

2. Bagi maksud arahan ini, “bilik barang kes” ertinya bilik yang digunakan bagi tujuan menyimpan barang-barang yang disita.

1.6.1 Tangkapan Oleh Orang Awam

24. Tangkapan oleh orang awam hanya boleh dilakukan bagi tujuan membantu tugas PPA , pegawai polis atau Hakim sahaja berdasarkan peruntukan di dalam Akta/ Enakmen/ Ordinan Tatacara Jenayah Syariah yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri.

1.6.2 Tangkapan Oleh Pegawai Masjid

25.(1) Seseorang Pegawai Masjid yang membuat suatu penangkapan tanpa waran hendaklah tanpa kelengahan yang tak perlu menyerahkan orang yang ditangkap sedemikian kepada PPA atau pegawai polis yang terdekat, dan seseorang PPA atau pegawai polis hendaklah menangkap semula tiap -tiap orang yang ditangkap sedemikian.

(2) Jika penangkapan semula di bawah perenggan (1) telah dibuat, PPA hendaklah membuat laporan mengenai penangkapan semula tersebut dan merujuk orang yang ditangkap kepada pegawai penyiasat untuk tindakan siasatan.

(3) Arahan 5 bagi tatacara mejalankan siasatan hendaklah terpakai bagi tindakan siasatan yang dinyatakan di bawah perenggan (2) di atas.
1.6.3 Kuasa Membuat Garis Panduan

26. Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri boleh, dari masa ke semasa, dengan persetujuan Majlis Agama Islam Negeri, mengeluarkan Garis Panduan untuk penguatkuasaan kesalahan-kesalahan tertentu dalam undang-undang Islam.

1.6.4 Tindakan Tatatertib

27. Sebarang tindakan PPA yang bertentangan dengan arahan tetap ini boleh dianggap sebagai telah mekanggar arahan perkhidmatan dan boleh diambil tindakan tatatertib menurut peraturan-peraturan pegawai awam (kelakuan dan tatatertib) 1993.

1.6.5 Rujukan Muktamad

28. Jika terdapat apa-apa perkara yang tidak diperuntukkan atau tidak dinyatakan dengan jelas dalam arahan tetap ini , PPA hendaklah merujuk kepada Akta/ Enakmen/ Ordinan Tatacara Jenayah Syariah yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri.

1.7 KESIMPULAN

Prosedur tangkapan khalwat ini mestilah diikuti oleh pihak yang berkuasa. Pihak -pihak yang berhak membuat tangkapan jelas telah dinyatakan di dalam prosedur ini. Pihak tersebut perlu mengikut tatacara penerimaan maklumat, tatacara menjalankan siasatan, tatacara pengendalian barang yang disita dan sebagainya.

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Powered by WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: