Elemen Pembuktian di Mahkamah Syariah

Mahkamah Syariah di Malaysia mempunyai hierarki dan bidangkuasa yang tersendiri selepas ia dipisahkan dari hierarki Mahkamah Sivil pada tahun 1988 dan selepas penggubalan Perkara 121 (1)A, Perlembagaan Persekutuan. Namun, pembuktian di Mahkamah Syariah tidak banyak bezanya dengan amalan di Mahkamah Sivil. Cuma yang berbeza adalah dari sudut penggunaan istilah dan aplikasi undang-undang keterangan Islam.

Keterangan sebagaimana yang ditafsirkan dalam seksyen 3, Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 adalah :-

“keterangan” termasuklah –
a) bayyinah dan syahadah;
b) segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh Mahkamah dibuat di hadapannya oleh saksi berhubungan dengan perkara-perkara fakta yang disiasat : pernyataan sedemikian disebut keterangan lisan;
c) segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan Mahkamah : dokumen sedimikian disebut keterangan dokumentar;

Sebagaimana yang telah dinyatakan, pembuktian di Mahkamah Syariah tidak banyak bezanya dengan amalan di Mahkamah Sivil. Namun, Mahkamah Syariah telah mengguna pakai beberapa elemen keterangan dan pembuktian yang menjadi amalan dalam perundangan Islam. Hanya pengakuan (iqrar), keterangan saksi (syahadah) dan sumpah (alyamin) merupakan bentuk keterangan yang disepakati para Fuqaha’. Bentuk-bentuk keterangan dalam Islam adalah seperti berikut :-

i. Al-Iqrar (Pengakuan)
ii. Al-Syahadah (Saksi)
iii. Al-Yamin (Sumpah)
iv. Al-Qarinah (Fakta Berkaitan atau Keterangan Keadaan)
v. Al-Ra’yu al-Khabir (Pendapat Pakar)
vi. Al-Qiyafah
vii. Al-Kitabah
viii. Ilm al-Qadi
ix. Al-Qasamah
x. Li’an

ms1

Al-Iqrar (Pengakuan)

Dari sudut bahasa ia bermaksud mengaku atau membuat pengakuan. Dari sudut istilah fuqaha’ pula, iqrar bermaksud memberitahu seorang akan sabit hak orang lain ke atas dirinya walaupun buat masa akan datang tetapi bukanlah semata-mata pemberitahuan bahkan pada hakikatnya iqrar itu dari satu sudut ia adalah ikhbar (pemberitahuan) dan dari suatu sudut lain memberi ertinya insya’ (mencipta sesuatu).

Jika diteliti dalam penghakiman kes Pendakwa Syarie lwn Jalil Embong, (2004) JH XVII/I 93-121)

Yang Arif Hakim Bicara menyatakan bahawa iqrar merupakan salah satu pembuktian yang terkuat dalam hukum syara’. Bahkan tiada perselisihan pendapat ulama’ berkenaan kedudukan iqrar ini. Sebagaimana firman Allah Taala dalam Surah al-Qiyamah 75:14 :

Yang bermaksud –
Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri.

Al-Syahadah (Saksi)

Syahadah boleh didefinisikan sebagai suatu pemberitahuan yang benar bagi mensabitkan sesuatu hak dengan lafaz asyhadu dalam Mahkamah. Cara pembuktian ini juga disepakati oleh para ulama’ sebagai satu cara pembutian dalam undang-undnag keterangan Islam. Bahkan tiada pendapat ulama’ yang menolak atau menafikan kedudukan syahadah dalam Islam. Ini selaras dengan firman Allah Taala:
Yang bermaksud –
Wahai orang-orang Yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang Yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi Yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan. [Surah al-Nisa’ 4: 135]

dacing

Al-Yamin (Sumpah)

Secara umumnya, al-Yamin disyariatkan bertujuan bagi menguatkan sama ada dari aspek kebenaran dalam mensabitkan hak serta penafian ataupun tatkala gagal dalam mengemukakan bukti dan keterangan. Sumpah ini juga kadangkala disebut al-yamin al-asliyyah atau alawajibah atau al-rafi’ah, yamin jalibah, yamin tuhmah dan yamin istizhar. Jika satu pihak enggan bersumpah selepas diarahkan oleh Mahkamah untuk berbuat demikian, maka pihak tersebut dianggap telah melakukan nukul yamin dan mahkamah akan mengarahkan satu pihak lagi untuk mengangkat sumpah.

Seksyen 87 (1), (2) dan (3) Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 ada memperjelaskan tentang proses sumpah di Mahkamah :-

(1) Dalam kes mal, keterangan hendaklah diberikan oleh Plaintif dan Defendan, dan jika Defendan menafikan tuntutan terhadapnya, dia hendaklah dikehendaki mengangkat sumpah mengikut Hukum Syarak.
(2) Jika Defendan mengangkat sumpah di bawah subseksyen (1), tuntutan yang dibuat oleh Plaintif hendaklah ditolak.
(3) Jika Defendan enggan mengangkat sumpah, maka Mahkamah bolehlah meminta Plaintif mengangkat sumpah dan dengan sumpah itu tuntutannya hendaklah diterima.Dalam kes jenayah, keterangan hendaklah diberikan bagi pendakwa dan bagi tertuduh melainkan jika tertuduh mengaku salah

Al-Qarinah (Fakta Berkaitan atau Keterangan Keadaan)

Qarinah boleh disamakan dengan konsep keterangan keadaan (circumstantial evidence).Secara istilah, qarinah bermaksud bukti atau segala wasilah yang dibenarkan untuk dikemukakan di mahkamah dengan tujuan membuktikan kewujudan sesuatu fakta atau sebaliknya. Ia juga bermaksud sebarang maklumat yang diperolehi daripada dokumen, benda atau saksi yang boleh membuktikan kewujudan fakta tertentu.

Melalui bukti atau maklumat ini, kebenaran atau kepalsuan sesuatu fakta yang dipertikaikan dapat dipastikan kedudukannya. Ini bermakna qarinah adalah satu tanda jelas untuk membuktikan sesuatu fakta yang tersembunyi. Ini sebagaimana yang ditunjukkan dalam firman Allah Taala dalam Surah Yusuf 12: 27:-

Yang bermaksud –
Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah dari orang-orang Yang benar.

Al-Ra’yu al-Khabir (Pendapat Pakar)

Seksyen 33, Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 membenarkan pendapat saksi diterima sebagai keterangan di Mahkamah dengan syarat saksi tersebut merupakan seorang pakar dan pendapatnya adalah berkaitan dengan fakta yang dikemukakan. Bahkan keterangan pakar ini ada diperjelaskan oleh Prof Dr Anwarullah sebagai salah satu bentuk keterangan yang diterima dalam Islam iaitu :-

”The opinion of the expert has been given great importance by the later Muslim jurists and they relied upon it in all criminal and civil matters. It is stated in Majallah Al-Ahkam al-Adliyyah, a civil codifield Law of Ottoman Empire of Turkey, that reports of the skilled persons are acceptable as authentic testimony even if they did not use the word Shahadah (testimony).”

Al-Qiyafah

Dalam bidang sains, qiyafah sering kali dirujuk dengan perkataan Anthroposcopy atau physiognomyiaitu satu bentuk kemahiran mengenalpasti susur galur keturunan seseorang apabila berlakunya percampuran keturunan tersebut. Orang yang pakar dalam qiyafah digelar sebagai qa’if.[36] Namun ia berbeza dengan keterangan pakar kerana keterangan pakar dimasukkan sebagai qarinah. Bahkan Ibn Qayyim meletakkan keterangan pakar terasing daripada qarinah kerana keterangan pakar boleh mencapai tahap yakin.

Amalan qiyafah ini selari dengan hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah yang bermaksud :

“Pada suatu hari Rasulullan s.a.w dating kepadaku dalam keadaan amat sukacita sehingga jelas terpancar kecantikan wajahnya. Katanya : Tahukah kamu bahawa Mujazzir al-Mudaljiy[38] telah datang berjumpaku. Dia telah melihat USamah (si anak) dan Zaid (si bapa) yang menutup muka dan kepala mereka dengan sehelai kain dan memperlihatkan kaki kedua-duanya sahaja. Lalu Mujazzir meneka bahawa kaki kedua-dua mereka adalah daripada keturunan yang sama.”

mhkamh

Al-Kitabah (Keterangan Dokumen)

Beradasarkan seksyen 3, Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 mentafsirkan keterangan dokumen sebagai salah satu bentuk keterangan yang diterimapakai di Mahkamah Syariah. Kedudukan keterangan dokumen menurut hukum syara’ diperjelaskan oleh Noor Inayah Yaakub dan Jasri Jamal dalam artikel mereka berjudul Keterangan Dokumen Dan Teknologi iaitu :-

”Secara khusus dari sudut pandangan perundangan Islam, catatan dokumen memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Al-Quran dalam beberapa ayat telah menyebutkan peranan catatan sebagai cara pembuktian dan merupakan keterangan yang boleh membantu mencari kebenaran. Pandangan Ibn Qayyim yang menerima keterangan dokumen sebagai qarinah boleh dijadikan panduan. Jika qarinah tersebut kuat maka hendaklah diterima manakal jika lemah hendaklah ditolak, dan jika keterangan itu samar-samar amak hendaklah ia dipastikan terlebih dahulu.

Ibn Qayyim al-Jawziyyah pernah menyebut dalam kitab al-Turuq al-Hukmiyyah (1977:299-300) yang bermaksud :-
Pembuktian sebenarnya satu hujah yang menyokong dakwaan dan semakin banyak bukti yang dibawa semakin kuat pendakwaan tetapi menggunakan satu bukti sahaja yang benar-benar kuat adalah lebih baik daripada 100 hujah yang boleh dipertikaikan”.

Ilm al-Qadi

Ia merupakan satu bentuk pengetahuan atau maklumat yang diperolehi secara peribadi oleh hakim berkaitan dengan kes yang dihadirinya. Secara prinsipnya, seorang hakim akan menetapkan keputusan berdasarkan maklumat dan fakta yang diperolehi ketika perbicaraan. Jika maklumat itu diperolehi di luar Mahkamah, maka terdapat beberapa perbezaan pendapat dalam penerimaan keterangan ini.

Mengikut Imam Syafie, pengetahuan dan maklumat Hakim yang diperoleh di luar Mahkamah boleh dijadikan asas hukuman jika ia diperolehi oleh dua orang saksi lelaki, manakala Mazhab Hanafi pula menolak keterangan ini dalam kes hudud. Namun berdasarkan pendapat Mazhab Zahiri, keterangan ini perlu digunakan dalam semua kes termasuk hudud, bahkan Ibnu Hazm menambah bahawa pengetahua Hakim merupakan keterangan yang perlu didahulukan berbanding pengakuan (iqrar) dan keterangan saksi.

Al-Qasamah

Secara umumnya, qasamah adalah salah satu bentuk sumpah. Namun ia berbeza daripada sumpah al-Yamin. Jumhur yang terdiri daripada Mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali berpendapat qasamah merupakan sumpah yang dibuat oleh wali al-dam untuk mendakwa penduduk yang menjumpai mangsa pembunuhan ditempat mereka. Qasamah juga didefiniskan sebagai sumpah yang dibuat oleh penduduk sesuatu tempat terhadap satu pembunuhan yang tidak diketahui siapa pembunuhnya. Definisi ini disokong oleh pendapat Mazhab Hanafi dengan menambah lafaz sumpahnya :

“Demi Allah aku tak membunuhnya dan aku tak tahu siapa pembunuhnya.”

Li’an

Li’an adalah prosedur sumpah yang dikenakan terhadap suami apabila suami tersebut menuduh isteri berzina tanpa dapat mengemukakan empat orang saksi lelaki Muslim yang adil.

Kesimpulan

Pembuktian di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah tidak banyak bezanya. Ini kerana kerangka statut yang menjadi rujukan asas kedua-dua Mahkamah adalah hasi adaptasi dari sumber yang sama. Namun statut rujukan bagai Mahkamah Syariah dilestarikan dengan undang-undang keterangan Islam, maka terdapat beberapa istilah dan terma yang ditukarkan sesuai dengan konsep yang digunakan.  Elemen-elemen keterangan dan pembuktian ini masih berkesan dalam memastikan kewujudan sesuatu hak atau sebaliknya. Maka dengan wujudnya statut dan undand-undang khusus berkaitan keterangan, pihak-pihak yang tidak berpuashati boleh mengemukakan sebarang bukti berkaitan untuk mengangkat haknya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s