Tatacara Penceraian Secara Persetujuan Bersama/Secara Baik

cerai

Kes cerai secara baik atau cerai dalam Mahkamah boleh dikatakan merupakan jenis kes syariah yang paling banyak difailkan di Mahkamah-Mahkamah Syariah seluruh Malaysia.

Kes ini melibatkan pasangan yang masih berkahwin tetapi berniat untuk bercerai, di mana suami dan/atau isteri ingin talaq dilafazkan di dalam Mahkamah.

Sememangnya sekiranya ingin bercerai, Enakmen negeri masing-masing mengkehendaki perceraian dibuat di dalam Mahkamah, tidak kira dalam bentuk talaq, fasakh, khulu’, li’an dan sebagainya.

Talaq yang dilafazkan di luar Mahkamah adalah sebenarnya suatu kesalahan syariah.

Seksyen 124 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (WWP): Perceraian di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah

“Seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talaq dengan apa-apa bentuk di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah itu maka dia melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya”.

Kenapa tidak dibenarkan lafaz di luar mahkamah? Ada dua kebaikannya:

  1. Sekiranya lafaz talaq tersebut tidak jelas (seperti “aku pulangkan kau kepada ibubapa kau”, “aku tidak mahu bersama kau lagi”), akan berlaku banyak masalah semasa pasangan ingin mendapatkan pengesahan lafaz cerai kerana suami dikehendaki berterus-terang tentang niatnya semasa membuat lafaz tersebut. Hakikatnya, terdapat banyak kes di mana apabila ditanya Hakim, suami tidak mahu mengakui bahawa dia sememangnya berniat untuk menceraikan isteri semasa membuat lafaz tersebut. Maka isteri akan sentiasa dalam keadaan berasa serba-salah kepada Allah sekiranya suami tidak berlaku jujur semasa menjelaskan niat kepada Mahkamah dan mereka kembali hidup sebagai suami isteri dalam keadaan ketidaktentuan itu.
  2. Prosedur cerai dalam Mahkamah memberi masa kepada suami isteri untuk benar-benar memikirkan semula samaada mereka patut berpisah. Sekiranya difailkan prosedur cerai dalam Mahkamah di bawah seksyen 47, sekiranya salah satu pihak tidak mahu bercerai, Mahkamah akan memberi peluang kepada pasangan untuk berbincang di hadapan jawatankuasa pendamai (lebih dikenali sebagai “JKP”), dan jika masih tidak berjaya, kes akan dirujuk pula kepada “Hakam”, iaitu perbincangan lanjut antara wakil pihak-pihak supaya dapat berdamai atau masih meneruskan dengan cerai.

Oleh itu, eloklah sekiranya pihak yang sudah memutuskan untuk bercerai (baik isteri atau suami), memfailkan permohonan cerai secara baik atau cerai dalam Mahkamah (biasanya dirujuk sebagai cerai seksyen 47).

Proses cerai sebegini (berbeza dengan fasakh) adalah lebih mudah dan kebanyakannya tidak memerlukan peguam, kerana ia tidak melibatkan proses perbicaraan.

Hanya sekiranya proses ini tidak berjaya, contohnya kerana suami atau wakil enggan memberikan kerjasama atau hadir ke Mahkamah, maka Hakim sering menasihatkan isteri untuk memfailkan kes di bawah ta’liq atau fasakh (sekiranya sebab-sebab untuk ta’liq atau fasakh sememangnya wujud).

Baiklah, pada minggu ini, penulis ingin memberikan serba-sedikit panduan / proses berkenaan cerai secara baik ini. Untuk penulisan kali ini, mari kita anggap yang kedua-dua suami isteri setuju untuk bercerai. Perbincangan mengenai suami tidak setuju menceraikan (proses JKP dan Hakam) akan diteruskan di minggu yang lain.

Langkahnya mudah sahaja, dan tidak perlu peguam pun. Kadangkala boleh juga selesai dalam hari yang sama, dan di negeri Selangor dipanggil ‘fast track’ (tapi mesti datang awal pagi lah ye, bersama pasangan, dan bawa dokumen asal dan salinan yang perlu).

mhkamh

Step-by-step proses tersebut adalah begini:-

  • Tentukan siapa yang ingin jadi Pemohon, boleh jadi suami, boleh juga isteri;
  • Tengok alamat yang tertera di kad pengenalan Pemohon. Penentuan Mahkamah mana yang akan mendengar kes anda bergantung kepada alamat dalam kad pengenalan Pemohon. Jika masih alamat lama (selalunya alamat kampung halaman), pergilah tukar dahulu alamat anda ke alamat mastautin yang sebenar. jika tidak, akan merumitkan keadaan kerana Mahkamah perlukan surat akuan mastautin dari masjid terdekat sekiranya alamat kad pengenalan tidak sama dengan alamat mastautin.
  • Kemudian, Pemohon boleh ke Mahkamah Rendah Syariah terdekat di mana Pemohon itu tinggal. Seeloknya call dulu Mahkamah tersebut untuk sahkan samaada sememangnya Mahkamah itu yang bertanggungjawab untuk mengadili kes tersebut berdasarkan tempat tinggal Pemohon. Sebab pernah saya jumpa seorang ibu tua yang datang all the way ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam sedangkan dia tinggal di Rawang dan sepatutnya kes dia difailkan di Mahkamah Rendah Syariah di Kuang. Kesian datang jauh-jauh tapi salah tempat. Please, call dulu ye.
  • Selepas sudah pasti hendak ke Mahkamah mana, kumpulkan dokumen penting (bawa salinan asal dan fotostat 4 salinan setiap satu): kad pengenalan suami, kad pengenalan isteri, surat beranak dan MyKid anak-anak, surat akuan nikah (oh ya, untuk pasangan yang bernikah di luar negara, mesti dapatkan pengesahan nikah di negeri mastautin terlebih dahulu barulah boleh failkan permohonan cerai). Sediakan juga sekitar rm50 tunai untuk bayaran fi Mahkamah dan lain-lain fi.
  • Kalau nak terus bercerai hari yang sama, datang ke Mahkamah pada awal pagi bersama pasangan (elakkan hari Jumaat sebab Mahkamah biasanya tidak dengar kes pada hari Jumaat). Tetapi mesti ingat, isteri mestilah dalam keadaan suci pada masa itu, dan tidak berlaku persetubuhan sepanjang tempoh suci tersebut.
  • Isi borang cerai di Mahkamah (untuk kebanyakan negeri boleh tulis tangan tapi kalau di Kuala Lumpur, perlu bertaip, ada jurutaip di Mahkamah KL tapi perlu bayar khidmat jurutaip, jika nak taip sendiri, kena cari cyber cafe atau ambil borang dahulu dan taip di rumah siap-siap).
  • Semasa isi surat akuan, Mahkamah akan minta Pemohon tuliskan samada sudah ambil langkah untuk cuba berdamai atau belum. Sesetengah Hakim akan tolak permohonan cerai jika Pemohon hanya bagi alasan ingin bercerai kerana “tiada persefahaman” (alasan paling popular). Oleh itu, surat akuan tersebut perlu nyatakan alasan yang lebih kukuh seperti sudah tidak bersekedudukan melebihi setahun, sudah tidak bertegur sapa, berlaku kecederaan fizikal, dan sebagainya. jangan tipu alasan ye. perlu jujur dan berterus-terang dengan keadaan anda. Ingat, hakim akan soal-balas nanti, dan Allah Maha Mengetahui.
  • Pemohon akan dihendaki tandatangan surat akuan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah tetapi sekiranya kes tersebut boleh dipanggil di hadapan Hakim pada hari yang sama, maka tak perlu tandatangan pesuruhjaya sumpah.
  • Failkan kes tersebut dan bayar fi yang dikehendaki.
  • Mohon didengar terus pada hari yang sama jika pasangan hadir dan mahu terus bercerai (tapi kalau nasib anda kes Mahkamah dah penuh atau Hakim tiada pada hari tersebut, Mahkamah akan bagi tarikh lain tapi pastikan pada tarikh tersebut isteri akan dalam keadaan suci dan tiada persetubuhan selepas suci dari haid. jika isteri haid tak teratur, maka agak-agak sahajalah, kalau hari pendengaran nanti isteri sedang haid, kena mohon tarikh pendengaran lain).
  • Sekiranya didengar di hari yang lain atau sekiranya anda tidak datang bersama pasangan, maka Mahkamah akan minta Pemohon serahkan Saman yang telah dimeterai Mahkamah kepada Defendan iaitu pasangan anda. Serahan mesti secara tangan ye, tak kiralah melalui orang ketiga atau secara sendiri, tetapi mesti pastikan Defendan sememangnya terima (jangan hanya letak dalam bilik tidur atau atas meja makan, walaupun anda tahu mesti Defendan akan baca). Kalau dapat dia tandatangan pada salinan Saman untuk membuktikan sudah terima adalah lebih baik, tapi asalkan dah bagi sudah cukup. Kemudian, rekodkan masa dan tarikh dan tempat di mana anda serahkan Saman tersebut.
  • Sebelum kes boleh didengar, Mahkamah akan suruh anda isi afidavit penyerahan (atau afidavit penyampaian) Saman. Masa ini perlu nyatakan bila masa tarikh hari dan tempat anda serahkan. Kalau anda suruh orang lain tolong serah, maka orang tersebut kena datang ke Mahkamah dan tandatangan afidavit penyerahan tersebut.
  • Kemudian di hadapan Hakim, Hakim akan soal-balas tentang sebab bercerai, keadaan isteri samaada haid atau tidak, ada bersetubuh atau tidak.
  • Kalau sekiranya ada perjanjian antara suami isteri berkenaan nafkah dan penjagaan anak, elok juga dimaklumkan kepada Hakim supaya boleh direkodkan bersekali dengan perintah cerai. Tapi penulis menasihatkan agar sebarang perjanjian hendaklah dirujuk kepada Peguam Syarie masing-masing kerana banyak masalah berlaku di kemudian hari apabila suami isteri tidak merujuk peguam terlebih dahulu atau hanya merujuk kepada satu Peguam sahaja untuk mewakili kedua-duanya.
  • Sekiranya Hakim berpuas hati bahawa pasangan tidak boleh berbaik semula, Hakim akan memerintahkan cerai dibenarkan, dan Mahkamah akan bagi satu surat lafaz untuk dibaca oleh suami.
  • Suami akan baca lafaz tersebut dan surat lafaz itu akan ditandatangani oleh suami dan isteri selepas suami melafazkan talaq mengikut surat itu.
  • Hakim akan membacakan perintah mengesahkan cerai telah dilafazkan di dalam Mahkamah dan akan memerintahkan surat akuan nikah dibatalkan (mesti bawa surat akuan nikah yang asal ye!) dan cerai didaftarkan di pejabat agama yang berdekatan.
  • Dokumen perintah cerai biasanya akan dikeluarkan Mahkamah selepas 30 hari, bila sudah terima, perlulah bawa dokumen perintah itu ke pejabat agama yang berkenaan supaya surat akuan cerai boleh dikeluarkan.
    Itu sahaja prosedurnya, lebih kurang. Kalau salah satu pihak tak setuju bercerai, maka akan lebih panjang lagi artikel ini. Itu kita bincangkan di kemudian hari pula.

Sumber: kincolaw

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Powered by WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: