Ulasan Berkaitan Kes Nasab Anak Tak Sah Taraf

KUALA LUMPUR 28 Julai 2017: Keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan pasangan Islam menasabkan anak tak sah taraf mereka dibinkan kepada nama bapanya menimbulkan perdebatan hebat di kalangan rakyat Malaysia.

Penulis tidak berhasrat untuk membincangkan tentang perbezaan pendapat antara mazhab-mazhab kerana ianya telah banyak dibahaskan secara mendalam.

Namun, penulis terpanggil untuk mengulas tentang alasan yang diberikan oleh panel tiga hakim iaitu Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Tengku Maimum Tuan Mat dan Puan Sri Zaleha Yusof.

Terdapat dua(2) alasan yang dikemukakan oleh Mahkamah Rayuan dalam alasan penghakimannya iaitu:

1. Seksyen 13A (2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 turut terpakai kepada anak tak sah taraf bagi pasangan yang beragama Islam

Seksyen tersebut merujuk kepada nama keluarga atau “surname” bagi seseorang anak:-

“13(2) The surname, if any, to be entered in respect of an illegitimate child …. where the person acknowledging himself to be the father of the child … the surname may be the surname of that person.”

Adakah surname (nama keluarga) ini sama dengan bin/binti?

Jika diteliti alasan mahkamah rayuan, panel tersebut berpendapat bahawa “nama keluarga” atau “surname” ini adalah sama dengan penggunaan bin/binti yang diamalkan oleh umat Islam di Malaysia.

Hakim dalam keputusannya menyatakan “sekiranya dia seorang anak sah taraf, seksyen 13A (1) terpakai, jika dia seorang kanak-kanak yang tidak sah taraf, seksyen 13A (2) juga terpakai, ia tidak boleh lebih daripada itu”.

Di sini jelas bahawa panel rayuan dipercayai mengambil jalan mudah apabila membenarkan rayuan pasangan tersebut tanpa penelitian mendalam terhadap kehendak peruntukkan 13A (2) itu sendiri.

Mengikut amalan penggunaan “surname” ini, ianya lebih kepada nama keluarga yang bersifat turun temurun, misalnya penggunaan nama “Wong” dalam masyarakat Cina.

Seluruh ahli keluarga mereka termasuk moyang, datuk dan cucu menggunakan “Wong” di dalam nama mereka.

Anak tak sah taraf juga boleh menggunakan nama “Wong” tersebut sekiranya mendapat persetujuan dari bapa biologinya.

Apa yang paling utama untuk difahami, “Wong” ini bukanlah nama bapa biologi anak tersebut tetapi nama keluarga yang digunapakai oleh semua kaum kerabat “Wong”.

Seksyen 13A merujuk kepada perkara ini dan hanya terpakai kepada keluarga yang mempunyai nama keluarga, sebab itu dinyatakan “if any”. 

Penggunaan bin/binti dalam masyarakat melayu Islam di Malaysia merujuk kepada bapa si anak yang diiktiraf oleh syarak.

Penulis berpendapat, pihak yang menyamakan penggunaan bin/binti dengan “surname” adalah tindakan terburu-buru dan terkeluar daripada hasrat sebenar peruntukan tersebut.

2. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tidak Terikat Dengan Fatwa Yang Dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan

Panel rayuan turut memutuskan bahawa Ketua Pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1981 dan 2003.

Menurut panel tersebut, fatwa yang dikeluarkan pada tahun 2003 bertujuan untuk mengesahkan status kanak-kanak itu dalam persoalan mengenai harta pusaka dan hubungan keluarga dalam hal berkaitan perkahwinan sahaja.

Tambah mereka, fatwa yang dikeluarkan tiada kaitan dengan tugas berkanun Ketua Pengarah JPN di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 untuk mendaftarkan kelahiran dan kematian di negeri-negeri Malaysia Barat.

Dari segi perundangan sivil, penulis bersetuju dengan alasan yang diberikan panel rayuan tersebut.

Sememangnya Ketua Pengarah JPN tidak terikat dengan mana-mana fatwa yang dikeluarkan.

Namun harus diingat, fungsi sesuatu fatwa itu dikeluarkan bagi menjelaskan sesuatu hukum kepada masyarakat Islam di Malaysia.

Adalah menjadi tanggungjawab Ketua Pengarah JPN supaya segala peraturan dan kaedah di Jabatan beliau ketuai menjalankan fungsi mengikut lunas-lunas Islam sekiranya ianya berkaitan dengan orang Islam kerana semua maklum bahawa Islam adalah Agama Persekutuan.

Pekeliling JPN 8/2009 yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara tidak bertentangan dengan mana-mana peruntukkan undang-undang yang berjalan pada hari ini.

Panel rayuan seharusnya bertindak serupa dengan mengambil pandangan pakar-pakar dalam perundangan syariah sebelum memutuskan sesuatu perkara yang berkaitan dengan maslahah umum.

Jika kita imbas kembali sewaktu pemerintahan British, Hakim pada waktu tersebut pernah memanggil mufti bagi mengetahui tentang sesuatu perkara yang berkaitan dengan orang Islam.

Persoalannya sekarang, kenapa hakim yang beragama Islam tidak menggunakan kaedah yang sama?

Cadangan Penyelesaian 

1. Pinda Undang-undang Yang Kabur dan Kurang Jelas

Undang-undang ciptaan manusia sudah tentu tidak boleh lari dari kelompongan.

Pihak kerajaan yang ada pada hari ini sewajarnya mengambil tindakan proaktif dengan meminda mana-mana akta yang kabur dan kurang jelas supaya selari dengan undang-undang Islam.

Setiap permasalahan yang berkaitan dengan umat Islam secara umum perlu mengambil kira pandangan dari pakar-pakar yang diiktiraf seperti Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Jawatankuasa ini bukanlah pendapat satu individu malahan telah diperdebat dan dibincangkan secara mendalam oleh sekumpulan pakar yang diiktiraf oleh Sultan dan Raja Melayu.

2. Wujudkan Kad Pengenalan Khas Anak Tak Sah Taraf

Seandainya nanti Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan, satu mekanisme perlu diwujudkan bagi membezakan antara anak sah taraf dengan anak tak sah taraf.

Perbezaan ini perlu bagi mengelakkan kemudharatan berpanjangan terutama dalam bab perwalian dan perwarisan.

Anak tak sah taraf ini jika dibinkan kepada nama bapanya, mestilah kad pengenalannya nanti mempunyai simbol atau tanda tertentu, yang dapat membezakan statusnya pada masa akan datang. 

Cadangan ini bagi menyelesaikan isu maruah anak tak sah taraf yang sebelum ini dibinkan kepada “Abdullah”. 

Waallahualam..

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s