Menjawab Status Jelek Asiah Abd Jalil

Individu bernama Asiah Abd Jalil dalam satu status di FB miliknya telah memuat naik satu status yang sangat biadap dengan menyatakan Undang-undang Islam telah ketinggalan zaman berbanding undang-undang sivil.

Kenyataan tersebut jelas dilontarkan oleh seorang yang jahil tentang undang-undang Islam sedangkan mahkamah syariah di negara kita sentiasa berusaha menegakkan keadilan selaras dengan hukum syarak.

Bagi menjawab status beliau itu, penulis berhasrat untuk mengulas serba sedikit tentang penerimaan ujian DNA di mahkamah syariah.

Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4, DNA merujuk kepada deoxyribonucleic acid iaitu juzuk utama yang membentuk bahan genetik (bahan penentu ciri-ciri kebakaan) kebanyakan organisma hidup, termasuk sesetengah virus yg terkandung di dlm nukleus sel organisma yg berkenaan. 

Kebiasaannya, ujian DNA digunakan bagi menentukan identiti seseorang yang mana ianya dapat menentukan hubungan biologi antara anak dengan ibu dan bapa. 

Kadar ketepatan ujian DNA ini adalah 99.99%. 

Masyarakat dunia masa kini telah mengiktiraf penggunaan ujian DNA bagi mensabitkan kesalahan bagi penjenayah, mengenal nasab keturunan, pengecaman anggota tubuh yang terputus dan mengenal pasti jantina. 

Isu terbaru yang menggunakan kaedah ini adalah dalam kes pesawat MAS (MH17) yang mana pesawat tersebut telah telah terhempas di wilayah bergolak di Ukrine. 

Bagi mengenalpasti identiti mangsa yang terkorban, ujian DNA telah dilakukan ke atas setiap anggota badan yang ditemui di tempat kejadian. 

Setiap ahli keluarga mangsa diminta menyerahkan sampel DNA dan setelah ujian DNA telah disahkan, barulah mayat-mayat mangsa di bawa balik untuk disemadikan di negara masing-masing.

Penggunaan DNA juga telah digunakan secara meluas di mahkamah sivil dan ujian ini telah banyak membantu mensabitkan serta menggugurkan kes dengan disokong oleh keterangan pakar DNA. 

Kebolehterimaan DNA sebagi bahan bukti di mahkamah syariah

Di mahkamah syariah pada masa ini telah menggunakan pelbagai kaedah pembuktian antaranya Iqrar (Pengakuan), Syahadah (Kesaksian), Qarinah dan keterangan dokumentar. 

Ujian DNA boleh dikategorikan sebagai Qarinah yang mana ia dapat membantu hakim dalam membuat keputusan dalam sesuatu perbicaraan. 

Pembuktian melalui Qarinah biasanya dibuat sekiranya seseorang itu tidak mempunyai bukti yang mencukupi ataupun bukti telah mencukupi akan tetapi pembuktian melalui Qarinah dapat menguatkan lagi dakwaan seseorang. 

Ujian DNA lazimnya hanya dilakukan oleh orang yang pakar dan ianya tidak boleh dilakukan oleh sebarangan orang tanpa ilmu pengetahuan yang luas dalam bidang tersebut. 

Pendapat pakar ini dikategorikan sebagai salah satu penerimaan pembuktian dalam perundangan Islam. 

Ini selari dengan firman Allah dalam surah Al-Anbiyat ayat 7 yang bermaksud :

 “Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada Ahluz Zikri (orang yang mengetahui) jika kamu tidak mengetahui.” 

Dalam surah tersebut Allah menegaskan agar bertanya orang yang pakar dalam sesuatu sekiranya sesuatu perkara itu berada diluar pengetahuan kita. 

Enakmen 5 tahun 2003 Selangor  telah mengadaptasi firman Allah tersebut menerusi seksyen 33 (1) – 

Apabila Mahkamah perlu membuat sesuatu pendapat atas sesuatu perkara mengenai undang-undang negara asing atau mengenai sains atau seni, atau tentang identiti atau ketulenan tulisan tangan atau cap jari atau berhubungan dengan penentuan nasab, maka pendapat atas perkara itu daripada orang yang mempunyai kemahiran khusus dalam undang-undang negara asing, sains atau seni itu, atau dalam soal tentang identiti atau ketulenan tulisan tangan atau cap jari atau berhubungan dengan penentuan nasab, ialah qarinah. (2) – Orang sedemikian itu dipanggil pakar. 

Peruntukkan di atas dengan jelas menerima pendapat pakar dalam pembuktian di mahkamah. 

Walaupun tidak dinyatakan secara jelas berkaitan Ujian DNA, tetapi perkataan “mengenai sains” tersebut adalah berkait rapat dengan ujian DNA.

Sepertimana dibincangkan dalam pengenalan sebelum ini, ujian DNA wujud kerana kepesatan pembangunan sains dan teknologi dan Islam sangat mengiktiraf penggunaan sains dan teknologi kerana ianya mampu menyelesaikan permasalahan manusia masa kini. 

Di dalam peruntukkan tersebut turut dinyatakan bahawa pendapat pakar ini boleh digunakan dalam perkara berkaitan dengan penentuan nasab. 

Penentuan nasab adalah satu perkara yang perlu di ambil serius kerana ianya mempunyai kesan yang besar dari segi hukum syarak seperti penentuan nafkah dan perwarisan harta.

Satu fatwa telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan isu DNA pada tahun 2012 . 

Jawatankuasa fatwa pada sidang tersebut hanya membincangkan hukum menggunakan DNA untuk menentukan status nasab anak dan tempoh melaksanakan li’an untuk menafikan nasab anak. 

Majlis tersebut telah menjelaskan bahawa Majma’ Fiqh al Islami yang bersidang pada 5 hingga 10 Januari 2002 telah memutuskan bahawa untuk mengisbatkan nasab, penggunaan DNA dibenarkan dan dilakukan atas perintah mahkamah. 

Ianya juga hanya digunakan dalam kes pertelingkahan ketidaktahuan nasab anak atas pelbagai sebab, kes kekeliruan atau pertukaran anak di hospital atau pusat jagaan, kes bayi tabung uji serta dalam kes anak-anak yang hilang atas sebab bencana alam dan sebagainya. 

Walau bagaimanapun, Majma’ al-Fiqh al-Islami menetapkan bahawa DNA tidak boleh digunakan untuk menafikan nasab anak apalagi digunakannya mendahului kaedah li`an.

Keputusan DNA diterimapakai dalam pembuktian di mahkamah syariah

Mahkamah Syariah Negeri Sabah telah terkehadapan dalam penggunaan DNA di mana hakim mahkamah tinggi pada masa itu iaitu Yang Arif Tuan Jasri Bin Mat  Jakir (sekarang Ketua Hakim Syarie Sabah) telah menerima keputusan DNA dalam kes persetubuhan haram di bawah seksyen 80, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) tahun 1995. 

Kes tersebut melibatkan Pendakwa Syarie negeri Sabah lawan Rosli bin Abdul Japar. 

Mengikut fakta kes, tertuduh dalam kes ini Rosli Bin Abdul Japar telah dipanggil membela diri atas tuduhan melakukan Persetubuhan Haram dengan Murni Binti Muhammad sehingga melahirkan seorang anak luar nikah bernama Hasmawi bin Abdullah. 

Pendakwa Syarie telah berjaya membuktikan kesnya berdasarkan keterangan pakar dan pembuktian secara saintifik iaitu laporan ujian DNA (Deoxyribonucleic Acid) ke atas ketiga-tiga penyumbang specimen darah: i) Hasmawi Abdullah, ii) Murni Binti Muhammad, iii) Rosli Bin Abdul Japar. Ujian tersebut  telah dijalankan oleh pakar DNA dari Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, Selangor iaitu Mohd Izuan Bin Othman (saksi pendakwaan ketiga) disamping keterangan saksi pendakwaan pertama (Murni Binti Muhammad) dan saksi pendakwaan kedua (Haslee Bin Sairin @ Harimin).

Mahkamah juga menerima hujah Pendakwa Syarie berdasarkan wujud Qarinah yang kuat yang mengaitkan hubungan Cik Murni Binti Muhammad dengan tertuduh dalam kes ini hingga membawa pertemuan yang berakhir dengan perbuatan persetubuhan haram dan menjadi bukti telah berlakunya persetubuhan haram. 

Hasil persetubuhan haram iaitu anak yang dilahirkan oleh Murni Binti Muhammad telah berjaya dibuktikan hubungan darah antara anak yang dikandung oleh Murni Binti Muhammad  dengan Rosli Bin Abdul Japar melalui satu kaedah saintifik melalui analisis DNA yang telah diterimapakai di Mahkamah Awam.
Di Melaka juga terdapat kes yang tidak dilaporkan yang melibatkan pembuktian menerusi laporan DNA. 

Kes tersebut adalah kes farak nikah yang melibatkan pernikahan pasangan yang sama jantina iaitu wanita. 

Hakim Mahkamah Rendah Melaka telah menerima keterangan 2 orang pakar disamping pembuktian ujian darah menerusi DNA yang jelas menunjukkan bahawa Respondan 1 adalah wanita dan kekal sebagai wanita sehingga kes diputuskan. 

Melalui fakta kes, pemohon adalah bertindak bagi pihak Jabatan Agama Islam Negeri Melaka, Bahagian Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Daerah Melaka Tengah.

 Manakala Responden 1 dan 2 adalah pasangan suami isteri yang mendakwa telah bernikah secara sah mengikut prosedur yang telah ditetapkan. 

Isunya adalah dakwaan dari keluarga responden 1 yang menyatakan beliau adalah seorang wanita sejak dilahirkan dan bagaimana seorang wanita telah berkahwin dengan seorang wanita yang lain. 

Dalam kes ini, responden 1 dengan tegas menyatakan bahawa beliau adalah seorang lelaki dan telah menukar kepada nama lelaki dalam kad pengenalannya. 
Hakim Mahkamah Rendah telah mengarahkan Responden 1 untuk menjalani ujian di Hospital Besar Melaka dan 2 orang doktor pakar iaitu Norhanisah Binti Mohd Said (Doktor Pakar Sakit Puan) dan Muhamad Safian Bin Naim (Pakar Perunding Bedah Umum dan Ketua Jabatan Pembedahan Hospital Besar) telah dipanggil memberikan keterangan. 

Mengikut keterangan kedua-dua pakar ini, jelas menunjukkan bahawa responden 1 memiliki ciri-ciri seorang wanita melalui pemeriksaan fizikal dalaman dan luaran. 

Selain itu, ujian darah juga telah dijalankan dan keputusannya adalah jelas menunjukkan responden 1 adalah seorang wanita. 

Berdasarkan keterangan saksi-saksi lain dan juga keterangan 2 orang saksi pakar tersebut, Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Melaka telah mengsahkan bahawa pernikahan antara kedua-dua responden adalah tidak sah kerana tidak menepati rukun-rukun nikah berdasarkan hukum syarak dan perkahwinan tersebut diperintahkan untuk difarakkan. 
Dalam kedua-dua kes tersebut, ujian DNA telah terbukti dapat membantu hakim dalam membuat keputusan disamping dengan kehadiran pembuktian yang lain. 

Dalam erti kata lain, laporan DNA diiktiraf oleh mahkamah syariah di Malaysia.

Walaupun tiada sebarang peruntukkan yang menyatakan dengan jelas tentang tatacara pengendalian bukti DNA di mahkamah syariah, akan tetapi mahkamah boleh mengarahkan ujian DNA dijalankan sebagai contoh melalui peruntukkan di bawah seksyen 85 Akta 585  iaitu Pengzahiran dokuman dan fakta. Melalui seksyen tersebut, mahkamah boleh mengarahkan mana-mana pihak atau badan mengzahirkan apa-apa dokumen yang berkaitan dengan kes yang dibicarakan. 

Dalam situasi ini, bolehlah ditafsirkan bahawa mana-mana pihak tersebut adalah Jabatan Kimia Malaysia dalam usaha mendapatkan analisis ujian DNA sekiranya pada pendapat hakim ianya dapat membantu mahkamah dalam membuat keputusan yang tepat, adil dan menepati hukum syarak. 

Kesimpulannya, ujian DNA boleh diterimapakai sebagai salah satu cara pembuktian iaitu Qarinah yang mana ianya dapat membantu mahkamah syariah menjalankan perbicaraan yang adil dan tepat. 

Kepada Asiah Abd Jalil, jika tidak tahu tentang sesuatu perkara itu, bertanyalah kepada yang tahu.

Jangan bertindak jelek dengan memperlekeh undang-undang Islam kerana undang-undang Allah ini sesuai pada setiap zaman.

Waallahualam.. 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Powered by WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: