Bacaan Kali Kedua Pindaan Akta 164 Di Tarik Balik – Azalina

KUALA LUMPUR, 8 Ogos 2017 –Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan di Dewan Rakyat hari ini bahawa kerajaan bertindak menarik balik Rang Undang-undang (RUU) Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) ketika ia berada di peringkat bacaan kedua.

Namun, alasan penarikan tersebut tidak dinyatakan secara jelas dan RUU berkenaan disenaraikan pada nombor ke-10 dalam kertas aturan mesyuarat hari ini.

Ini kali kedua ia di tarik balik selepas ditangguhkan di peringkat bacaan kedua pada 6 April lalu.

Cadangan pindaan ini dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada November tahun lalu.

Pindaan ke atas akta itu dibuat bagi mengelak amalan penukaran agama anak-anak secara unilateral (persetujuan sebelah pihak).

Usul pindaan akta tersebut menyatakan agama anak kepada pasangan yang bercerai kerana seorang daripada mereka memeluk Islam, kekal mengikut agama asal perkahwinan pasangan terbabit.

Menerusi pindaan akta itu yang terkandung dalam Seksyen 88A (seksyen baharu), penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan perlu mendapat persetujuan ibu bapa anak terbabit.

Pindaan itu juga mewujudkan seksyen baharu iaitu 51A yang menetapkan jika seorang daripada pasangan memeluk Islam dan meninggal dunia sebelum perkahwinan mereka dibubarkan, mahkamah berkuasa membahagikan aset perkahwinan pasangan terbabit.

Pasangan bukan Islam turut mempunyai hak memfailkan perceraian di mahkamah sivil dan menuntut nafkah, hak jagaan anak, pembahagian aset perkahwinan.

Isu ini telah menerima banyak kritikan serta kecaman dari pelbagai pihak termasuk Isma kerana ia jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan dan juga mengambil hak umat Islam untuk mengamalkan agama Islam di negara ini.

Ia juga bertentangan dengan keputusan majlis fatwa yang sebulat suara memutuskan antara lain mana-mana pasangan bukan Islam yang memeluk Islam dan mempunyai anak-anak di bawah umur lapan belas tahun hendaklah menjadi orang Islam selaras dengan hukum syarak.

Sumber: ismaweb.net

 

 

JAWI Pantau Aktiviti Judi Setiap Minggu

KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2017: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melaksanakan pemantauan secara mingguan bagi membanteras aktiviti perjudian nombor ramalan atau nombor ekor.

Pengarahnya, Abdul Aziz Jusoh berkata, sebagai agensi penguatkuasaan agama, pihaknya memberi perhatian serius terhadap permasalahan dan sentiasa komited dalam memastikan segala kegiatan tidak bermoral dapat dibendung lebih awal.

“Selain menerima aduan daripada orang ramai dan melakukan siasatan, pihak Jawi melalui Bahagian Penguatkuasaan turut mengadakan operasi mingguan dalam membanteras aktiviti ini.

“Operasi tersebut akan dijalankan di premis-premis jualan nombor ekor di sekitar ibu negara. Sekiranya individu yang beragama Islam didapati berjudi atau berada di premis judi, mereka akan ditahan dan diambil keterangan seterusnya akan didakwa mengikut Seksyen 18, Akta 559, Kesalahan Jenayah Syariah, Wilayah Persekutuan 1997,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia Sabtu.

Jelasnya, kegiatan itu adalah haram dan aktiviti melibatkan segala bentuk perjudian sama ada loteri, tikam, mesin slot atau jackpot adalah satu perjudian yang diharamkan dan berdosa besar di sisi Islam.

“Oleh itu, pencegahan peringkat awal bermula dari rumah dan sekolah. Ibu bapa perlu memberi kefahaman mendalam terhadap pendidikan akhlak dan agama kepada anak-anak supaya mereka memahami perbuatan itu salah di sisi perundangan Islam serta memberi kesan buruk terhadap masyarakat,” katanya.

Abdul Aziz juga tidak menafikan bahawa mereka yang cetek agama sering terpengaruh dengan perjudian itu.

Katanya, walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan jati diri individu merupakan faktor terpenting dalam membasmi kegiatan tersebut dan secara tidak langsung dapat mencegah mereka melakukan kemungkaran.

“Beberapa langkah telah diambil untuk mengatasi penyakit sosial ini antaranya menjalankan operasi tangkapan secara adil berdasarkan pemantauan dan aduan orang ramai, aktiviti pencegahan awal melalui kempen serta penyebaran maklumat berkaitan judi di media massa selain memberi kaunseling bagi mereka yang didakwa di mahkamah,” ujarnya. – Utusan Online