​Fakta Sebenar Disebalik Penarikan Kes Kassim Ahmad

Susulan kes Kassim Ahmad ditarik balik di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan (MTS) pada 7 Ogos 2017, pihak Jabatan Pendakwaaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENS WP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menerima kecaman hebat di media sosial.

Rata-rata netizen mempertikaikan tindakan tersebut tanpa menyelidiki fakta sebenar yang berlaku.

Menurut sumber di Jabatan Pendakwaan Syariah WP, kenyataan dalam media sosial dan akhbar tempatan adalah kurang tepat.

Senario dalam MTS pada 7 Ogos 2017, pada awalnya bukan pihak JAWI atau Jabatan Pendakwaan Syariah yang memohon untuk menarik balik pendakwaan kes tersebut.

Namun pihak MTS membuat keputusan agar Pendakwa Syarie menarik kes tersebut ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan pada 7 Mac 2017.

Bermakna pihak Pendakwa Syarie mempunyai alasan kukuh untuk menarik pendakwaan tersebut.

Mungkin ada yang lupa bahawa prosiding kes Kassim Ahmad yang bermula pada tahun 2014 berlaku di dua mahkamah yang berbeza, iaitu Mahkamah Syariah pada 27 Mac 2014 dan Mahkamah Sivil pada 6 Januari 2015.

Kronologi Ringkas di Mahkamah Sivil:

1. Kassim Ahmad telah memohon semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar tangkapan dan dakwaan yang telah dibuat oleh pihak kerajaan/ JAWI terhadapnya;

2. Pada 6 Januari 2015, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan Kassim Ahmad. Namun Kassim Ahmad telah membuat rayuan ke atas penolakan oleh Mahkamah Tinggi itu;

3. Pada 21 Disember 2015, Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan Kassim Ahmad bahawa penahanannya pada 26 Mac 2014 di rumahnya di Kulim, Kedah adalah tidak sah di sisi undang-undang. Pihak kerajaan melalui Menteri, JAWI dan KPS membuat permohonan kebenaran untuk merayu terhadap penghakiman Mahkamah Rayuan itu;

4. Pada 7 Mac 2017, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan kerajaan dan memerintahkan agar pihak JAWI dan KPS menggugurkan dakwaan terhadap Kassim Ahmad bagi semua prosiding kes yang berjalan di Mahkamah Syariah.

Kornologi Ringkas di Mahkamah Syariah:
1. Pada 27 Mac 2014, Kassim Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya bagi menghadapi 2 pertuduhan iaitu di bawah s.7 dan s.9 Akta 559.

2. Kes tersebut telah disebut dan ditangguhkan beberapa kali oleh Mahkamah Tinggi Syariah sejak 2014 sehingga 2017 kerana menunggu keputusan-keputusan muktamad yang dibuat di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

3. Pada 11 Nov 2016, KPS memohon kepada MTS agar menangguhkan lagi kerana prosiding rayuan di Mahkamah Sivil iaitu rayuan di Mahkamah Persekutuan masih belum selesai. Oleh itu, MTS menangguhkan dan menetapkan tarikh 7 Ogos 2017;

4. Pada 7 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi Syariah bersidang setelah Mahkamah Persekutuan membuat penghakiman muktamad pada 7 Mac 2017 iaitu memerintahkan agar pihak JAWI dan KPS menggugurkan dakwaan terhadap Kassim Ahmad bagi semua prosiding kes yang berjalan di Mahkamah Syariah.

5. Semasa prosiding pada 7 Ogos 2017, pihak Pendakwaan Syariah memohon:-

i. Menangguhkan lagi kes tersebut kerana KPS belum diberi tauliah dan dilantik di bawah s58(2) (Akta 505). Ini kerana hanya KPS yang diberi tauliah sahaja yang boleh membuat keputusan sama ada menarik kes atau sebaliknya sebagaimana kuasa KPS diperuntukan di bawah s181 (A560) dan KPS sedia ada hanya menjalankan tugas sebagai Pengarah/KPS secara pentadbiran tanpa tauliah sebagai pendakwa;

ii. Pada masa yang sama, pihak Pendakwaan memohon dan menyerahkan budibicara kepada Hakim untuk membuat keputusan di bawah s118 sama ada menangguhkan kes atau membatalkan iaitu menolak kes ini sebagaimana dihujahkan oleh pihak Peguam Kassim Ahmad.

6. Bagaimanapun, selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Hakim membuat keputusan iaitu bahawa tiada keperluan untuk menangguhkan kes atas alasan KPS belum diberi tauliah, kerana Pendakwa Syarie sendiri boleh menarik kes Kassim Ahmad selaras dengan keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan agar pihak KPS menggugurkan pendakwaan terhadap Kassim Ahmad.

7. Susulan keputusan Hakim MTS itu selaras dengan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan, pihak Pendakwa Syarie telah bertindak menarik balik kes dan pendakwaan terhadap Kassim Ahmad sesuai dengan peruntukan s.103 (Akta 560).

Akur Dengan Keputusan Mahkamah Persekutuan

Terdahulu sebelum sebutan kes di MTS pada 7 Ogos 2017, peguam Kassim Ahmad telah menghantar surat peringatan kepada JAWI dan Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan supaya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan iaitu menggugurkan semua dakwaan terhadap Kassim Ahmad.

Tuduhan bahawa pihak pendakwaan menarik balik kes tanpa alasan kukuh telah mencalarkan integriti jabatan tersebut dan menyebabkan institusi Islam dipandang hina.

Diharap agar pencerahan ini dapat memulihkan imej Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENS) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di mata masyarakat.

Pihak JAPENS WP dan JAWI bersetuju menggugurkan pendakwaan terhadap Kassim Ahmad adalah semata-semata akur dan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan.

Leave a comment