JAIP Siasat Asiah Jalil Atas Dakwaan Menghina Islam

29 November 2017: Pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) hari ini telah memanggil Asiah Abd Jalil untuk memberi keterangan atas dakwaan menghina Islam.

Perkara tersebut dinyatakan sendiri oleh Asiah di dalam status Facebook miliknya jam 3.22 petang.

Sebelum ini Asiah memaklumkan sekumpulan penguatkuasa agama JAIP datang ke rumahnya pada 28 November 2017 jam 11 malam bersama waran geledah.

Namun, setelah perbincangan dilakukan, pihak penguatkuasa setuju untuk mengambil keterangan Asiah pada keesokan harinya di pejabat JAIP.

Siasatan dipercayai dijalankan di bawah seksyen 11 dan 12 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pahang (2003) iaitu:

1) Menghina atau menyebabkan dipandang hina Agama Islam.

2) Mempersendakan ayat Al-Quran atau Hadith.

Siasatan ini dilakukan berdasarkan aduan mengenai status Facebook milik beliau yang mencetuskan rasa marah orang awam.

Beliau bertindak memuat naik post di Facebook pada 16 November 2017 yang mendakwa Nabi Muhammad tidak membenarkan anak perempuannya dimadukan sedangkan nabi sendiri mengamalkan poligami.

Selain itu, beliau turut memuatnaik satu post pada 28 November 2017 dengan mendakwa Islam menghalalkan perbuatan rogol wanita tawanan perang.

Susulan tindakan yang di ambil oleh JAIP, rata-rata rakan Facebook beliau menzahirkan rasa kecewa dan mengutuk tindakan tersebut.

Antara yang paling pantang adalah Farouk A. Peru, Awang Waikunta @ Haziq Ismail dan adik beliau sendiri iaitu Ali Abd Jalil.

Asiah bagaimanapun dibebaskan dengan bon jamin sementara siasatan dilakukan oleh pihak JAIP.

Leave a comment