Siti Kassim didakwa kerana mencaci dan mengherdik Penjawat Awam

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Siti Zabedah Kassim berdepan dengan tindakan mahkamah apabila sebutan kes beliau di dengar pada hari ini di Mahkamah Majistret Jalan Duta Kuala Lumpur.

Beliau yang pernah popular kerana menimbulkan kemarahan umat Islam kerana menunjukkan isyarat lucah semasa forum pindaan Akta 355 tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, dia dituduh menghalang penjawat awam iaitu pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menjalankan tugas susulan serbuan yang dilakukan ketika acara ratu cantik mak nyah kononnya bagi mengumpul dana komuniti transgender pada 3 April 2016 bertempat di Renaissance Hotel In Kuala Lumpur.

Sewaktu kejadian, beliau dengan angkuhnya memaki hamun pegawai penguatkuasa yang melakukan pemeriksaan selain mendakwa beliau peguam dan tiada individu berani menyaman beliau.

Keangkuhan Siti Kassim akhirnya memakan diri apabila di dakwa di bawah kanun keseksaan. Beliau mengaku tidak bersalah dan dibebaskan selepas membayar wang jaminan sebanyak RM3000.

Bagi kesalahan itu, Siti Kassim dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sebutan kes seterusnya akan didengar pada 22 Ogos 2017.

AJARAN ISMAIL KASSIM DIFATWAKAN HARAM OLEH LIMA NEGERI

Syeikh Dr. Ismail Kassim adalah pengasas ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas yang bergiat aktif menyampaikan kuliah di serata tempat di Malaysia.

Namun tidak ramai yang mengetahui atau ambil peduli bahawa ajaran beliau sebenarnya telah difatwakan menyimpang dan menyeleweng dari akidah dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Lima buah negeri yang telah memfatwakan ajaran beliau sesat adalah Negeri Selangor, Negeri Sembilan, Sabah, Pulau Pinang dan Pahang.

Antara sebab mengapa ajaran kumpulan Ismail Kassim ini difatwakan sesat adalah:

  1.  Sesiapa yang tidak mempelajari Ilmu Syahadah Ismail Kassim, maka terbatal semua rukun Islamnya.
  2.  Setiap orang mesti membawa saksi di akhirat nanti dan sekiranya tiada saksi, segala amalan zikir nafasnya tidak berjalan lancar.
  3.  Untuk mencari Allah, sesorang itu wajib belajar zikir nafas.
  4.  Setiap orang yang mengikuti zikir ini mesti memulakannya dengan berzikir 24 jam sehari bagi tujuan mengisi zikir dalam nafas.
  5.  Sesiapa yang hendak bersalam dengan Ismail Kassim wajib mengambil wudhu’.

Fatwa dari Negeri Sembilan http://bit.ly/2rSty6g

Surat dari Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang

Semua negeri di Malaysia ini mestilah mengikut jejak langkah 5 negeri tersebut bagi mengelakkan umat Islam terus terpedaya dengan gerakan dan ajaran kumpulan tersebut. Selamatkan akidah kita sebelum terlambat.

Pengertian Iddah dan Tempoh Masanya

Iddah ialah tempoh menunggu yang wajib bagi isteri yang diceraikan atau kematian suami. Dalam tempoh iddah ini, bekas isteri diharamkan berkahwin dengan orang lain.

Tujuan dikenakan iddah ialah bagi memastikan rahim wanita tersebut suci daripada sebarang janin bagi mengelakkan ketidakpastian nasab sebenar anak jika perkahwinan baru dengan lelaki lain berlaku.

Ia terbahagi kepada 2 iaitu Iddah Raj’ie iaitu iddah yang membolehkan bekas suami merujuk semula isterinya. Ia hanya untuk talak satu dan talak dua sahaja.

Yang kedua adalah Iddah Bain iaitu iddah yang tidak membolehkan bekas suami merujuk semula isterinya melainkan dengan akaq nikah yang baru. Ia merangkumi Talak Tiga, Lian, Fasakh, Khuluk (Tebus Talak), Ila’ dan Isteri yang belum disetubuhi.

TEMPOH IDDAH PEREMPUAN YANG DICERAIKAN

Terdapat tiga keadaan bagi perempuan yang bercerai masa hidup yang tempohnya adalah berbeza.

Pertama bagi perempuan yang masih ada haid, eddahnya 3 kali suci haid.

Kedua, bagi perempuan yang belum datang haid atau belum cukup umur atau telah putus haid, tempoh iddahnya adalah 3 bulan.

Ketiga, bagi perempuan yang mengandung, tempoh iddahnya adalah sehingga dia melahirkan anak tersebut.

TEMPOH IDDAH BAGI PEREMPUAN KEMATIAN SUAMI

Terdapat 2 keadaan bagi perempuan yang kematian suami. Bagi perempuan yang tidak mengandung, iddahnya adalah selama 4 bulan 10 hari. Manakala bagi perempuan yang mengandung, iddahnya sehingga melahirkan anak.

HAK-HAK ISTERI YANG DICERAIKAN

Isteri yang berada dalam iddah Raj’ie berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal selama tempoh iddah. Manakala Isteri yang berada dalam iddah Bain adalah seperti berikut :

1) Isteri yang tidak hamil hanya berhak mendapat tempat tinggal

2) Isteri yang hamil berhak mendapat tempat tinggal dan nafkah

3) Isteri yang kematian suami berhak mendapat tempat tinggal sebagaimana semasa kematian suaminya.

 

 

APA GUNA GUBAL UNDANG-UNDANG JIKA TIDAK DIKUATKUASA?

Semua penduduk di Malaysia tanpa mengira agama sedia maklum bahawa adalah menjadi satu kesalahan sekiranya umat Islam yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan, bertindak makan dan minum secara terbuka di tempat awam.

Namun begitu terdapat sesetengah pihak yang nampaknya begitu lantang mempertikai akan kuasa yang diberikan oleh enakmen/akta dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

kj10

Paling mengejutkan, kata-kata lantang tersebut keluar dari mulut penggubal undang-undang itu sendiri iaitu AHLI PARLIMEN yang dilantik oleh rakyat. Tambah mengejutkan lagi, ianya terbit dari AHLI PARLIMEN ISLAM.

Sebagai individu yang terlibat secara langsung dengan penggubalan undang-undang negara, beliau seharusnya faham mengapa sesuatu undang-undang atau peruntukkan itu di gubal. Kenyataan memperlekeh tugas penguatkuasa agama yang menjalankan tugas berlandaskan prinsip undang-undang adalah amat memalukan.

Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (WWP) 1997 dengang jelas memperuntukkan bahawa:

Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan-

a) menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu; atau

b) secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya,

adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh di denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Untuk pengetahuan ahli-ahli Parlimen yang bijaksana, urusan agihan bantuan kepada asnaf digalas dan dilaksanakan oleh Pusat Agihan Zakat atau Baitulmal negeri masing-masing.

Pentadbiran Pusat Agihan Zakat adalah berbeza dengan Bahagian Penguatkuasa Agama negeri-negeri. Masing-masing mempunyai senarai tugas dan fungsi tersendiri sepertimana kuasa yang diberikan oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Untuk itu, biarlah mereka menjalankan tugasan masing-masing tanpa perlu campur tangan pihak lain yang nampaknya hanya mahu meraih populariti dan dianggap hero dalam membela masyarakat kononnya.

LAPAN SEBAB MENGAPA NON MUSLIM WAJAR DILARANG MENJADI PEGUAM SYARIE

PERTAMA

Mereka yang memiliki Sijil Amalan Guaman (CLP) layak untuk diiktiraf sebagai peguam professional dan memiliki lesen sah kerjaya sebagai peguambela dan peguamcara  TETAPI seorang peguam syarie WAJIB merupakan seorang Muslim yang berpegang kepada aqidah dan syariat Islam.

KEDUA

Seorang peguam non Muslim tidak akan mampu memahami dan menghayati aqidah dan syariat Islam, apatah lagi untuk membela anak-anak guam mereka dalam perundangan Islam. 

KETIGA

Setiap peguam syarie Muslim akan dipertangungjawabkan di dunia dan akhirat terhadap sebarang kes guaman yang mereka kendalikan sedangkan peguam non Muslim hanya tertakluk kepada aspek dunia dan etika guaman sahaja.

Seorang peguam syarie non Muslim bukan sahaja tidak memahami dan menghayati aqidah serta  syariat Islam, tetapi mereka juga  tidak akan mampu mempraktikkan perkara-perkara berkaitan prinsip-prinsip etika dan perundangan Islam sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran, as-Sunnah, athar sahabat, ijmak ulama’ serta qias.

KEEMPAT

Setiap peguam syarie mempunyai peranan, tugas dan tanggungjawab membantu hakim syarie merungkai masalah-masalah perundangan Islam, mengupas isu-isu pokok dan furu’ ajaran Islam serta  berijtihad terhadap permasalahan Islam kontemporari.

Seorang peguam non Muslim yang mahu mempraktikkan amalan guaman syarie, tidak mengamalkan serta menghayati hidup   sebagai seorang Muslim dan ilmu-ilmu yang berkaitan perundangan Islam tidak  akan mampu  membantu hakim syarie dalam perkara ini. 

KELIMA

Setiap peguam syarie  perlu berhujah  menggunakan dalil-dalil syarak dalam sebarang perbicaraan mahkamah.

Sementara itu,  seseorang peguam non Muslim bukan sahaja  tidak beriman  kepada sumber-sumber asas Islam (al-Quran dan As-Sunnah), malah dikhuatiri nas dan dalil yang digunapakai dan ditafsir  oleh mereka sewaktu perbicaraan juga terpesong dan tersasar  dari kefahaman Islam sebenar.

Ia akhirnya bakal menimbulkan KEKELIRUAN DAN KECELARUAN KE ATAS UMAT ISLAM DAN MASYARAKAT.

KEENAM

Adalah menjadi TANGGUNGJAWAB Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja (Majlis Raja-raja) kerajaan Malaysia dan umat Islam melalui pelbagai peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen-enakmen Agama Islam Negeri-negeri untuk memelihara melindungi  dan memperkasa kesucian agama Islam dan umatnya.

Membenarkan para peguam non Muslim menjadi peguam syarie MEMBUKA PINTU CAMPURTANGAN non Muslim terhadap agama Islam itu sendiri, satu-satunya perkara yang gagal dilakukan oleh para penjajah sejak 500 tahun lalu.

Ia seterusnya bakal memberi impak besar  kepada PENGHINAAN DAN  MERENDAHKAN MARTABAT ISLAM itu sendiri, di kemudian hari.

KETUJUH

Para peguam non muslim mempunyai HAK YANG SAMA RATA rata seperti golongan non Muslim lain dari aspek perundangan negara serta TIDAK TERIKAT kepada Enakmen Undang-undang Mahkamah Syariah setiap negeri.

Ketidakterikatan (bebas) ini boleh menimbulkan implikasi mereka tidak boleh didakwa di mana-mana mahkamah syariah meski pun mereka menuturkan atau mempamerkan perlakuan menghina Islam, samada di dalam atau luar  perbicaraan mahkamah syariah.

KELAPAN

Keinginan golongan tertentu yang mahu supaya para peguam non Muslim mempraktikkan amalan guaman syarie  akan menimbulkan  persepsi bahawa mana-mana pihak boleh mentafsir dan campurtangan terhadap urusan agama golongan lain. (dalam kes ini melalui medium perundangan)

IMPAK BESAR (jika perkara ini dibenarkan) adalah KETIDAKHARMONIAN AMALAN BERAGAMA di  kalangan rakyat Malaysia dan mampu mencetuskan tragedi serta KONFLIK AGAMA (dalam jangkamasa panjang) selain MENYUBURKAN  IDEOLOGI SESAT  PLURALISME.

KESIMPULANNYA, umat Islam dan rakyat Malaysia tidak memerlukan para peguam non Muslim sebagai peguam syarie yang akan mengendalikan kes-kes yang dibicarakan di mahkamah syariah.
(artikel ini adalah bagi memberi penjelasan khususnya kepada Mohd Asri yang menyokong secara terbuka bukan Islam menjadi peguam syarie)

Pegawai Syariah dan Peguam Syarie Bangkit Melawan Rafizi Ramli

Institusi Perundangan Syariah tidak boleh lagi dipandang hina oleh ahli-ahli politik yang seringkali menyerang dan memperlekehkan Sistem Perundangan Syariah di Malaysia dalam meraih undi dan sokongan terhadap mereka. Sejarah telah tercipta bila mana seorang ahli parlimen iaitu Rafizi Ramli mengeluarkan kenyataan biadap dalam meraih undi bukan Islam. Berikutan kenyataan biadap yang dikeluarkan kepada hakim syarie, para pendokong Institusi Kehakiman Syariah bangkit melawan dari terus diperlekeh.

Ini terbukti dengan tiga laporan polis telah di buat oleh Ketua Hakim dan Hakim Mahkamah Tinggi Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan serta Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan baru-baru ini yang mendesak Rafizi disiasat dibawah seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana memfitnah hakim syarie.

Manakala Jabatan kehakiman Syariah Negeri Terengganu pula mendesak Rafizi memohon maaf dan memberi masa selama sebulan kepada beliau. Jika tidak, satu laporan polis di bawah seksyen yang sama akan dibuat.

Sebelum ini, Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) bersama-sama dengan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) telah membuat aduan kepada Bahagian penguatkuasa Agama Wilayah Persekutuan atas alasan Rafizi menghina Mahkamah Syariah dan Pihak Berkuasa Agama.

Isyarat ini amat jelas bahawa mereka tidak lagi mahu terus diperlekeh dan dihina oleh golongan yang tidak suka kepada pelaksanaan undang-undang syariah di Malaysia. Serangan terhadap mahkamah syariah bukanlah baru dan ianya telah digerakkan sekian lama oleh puak-puak liberal khususnya kumpulan G25.

Isu kelewatan penyelesaian kes, pengabaian nafkah dan penyeksaan terhadap wanita sering dimainkan walaupun hakikatnya, keseluruhan jabatan kehakiman syariah berusaha keras dalam menambahbaik dan memperbaiki sistem perundangan syariah yang ada di negara kita sekarang.

Usaha menambah bilangan dewan mahkamah dan bilangan hakim dilakukan secara berterusan sesuai dengan bilangan kes yang semakin meningkat saban hari. Sistem pelaksanaan turut diperkemas dengan mewujudkan pelbagai sistem antaranya sistem e-syariah, e-nafkah, e-faraid dan sebagainya.

Namun usaha ini dipandang sepi oleh golongan politikus yang secara terangan memperlekeh hanya kerana gaji hakim syarie lebih rendah berbanding hakim mahkamah sivil. Mereka mungkin terlupa bahawa hakim syarie ini berperanan menegakkan keadilan sesuai dengan hukum syarak dan peruntukkan undang-undang sedia ada. Dalam erti kata yang mudah, hakim-hakim syarie hanya melaksanakan tugas mengikut bidang kuasa dan had hukuman yang ditetapkan.

Bilamana had hukuman dicadang untuk dinaikkan, serangan terus ditujukan kepada hakim syarie seolah-olah hakim syarie yang beria mahu menaikkan had hukuman. Malah Rafizi sanggup menghina hakim syarie yang katanya bakal terdedah kepada rasuah hanya kerana bergaji rendah. Pemikiran inilah sebenarnya yang membantutkan segala usaha untuk memartabatkan perundangan Syariah.

Jika dilihat dari segi kenaikan gaji hakim syarie dalam tempoh 30 tahun sebelum ini, sudah beberapa kali gaji hakim syarie (penjawat awam) dinaikkan oleh kerajaan. Sedangkan had hukuman mahkamah syariah kali terakhir disemak adalah 30 tahun yang lepas. jadi di sini, dimanakah kaitan antara hukuman dinaikkan akan menjadikan hakim syarie terdedah kepada amalan rasuah? Andaian ini adalah hanya berniat jahat dan semata-mata mahu hakim syarie dipandang hina oleh masyarakat awam.

Yang peliknya, peningkatan had hukuman bagi undang-undang lain yang tiada kaitan dengan memperkasa undang-undang Islam, tidak timbul pula isu hakim mahkamah sivil akan terdedah kepada rasuah. Kenapa apabila melibatkan mahkamah syariah, isu ini timbul?

Rafizi ini hanya mahu bermain politik dengan sama-sama mengheret Institusi Perundangan Syariah dan agama Islam. Jika tidak sokong sekalipun pindaan terhadap hukuman tersebut, janganlah sesuka hati membuat andaian kurang cerdik sedangkan semua hakim syarie hanya menjalankan tugas berdasarkan peruntukkan undang-undang sedia ada.

 

Rafizi Ramli Mengelabah Apabila Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan Buat Laporan Polis

Rafizi yang dikenali sebagai pakar pembongkar isu dikalangan Pakatan Rakyat telah tersilap langkah apabila membuat kenyataan biadap dan menghina hakim syarie.

Dalam Sidang Parlimen Rakyat (Parlimen Olok-Olok) pada 10 April 2017 yang lalu, beliau bermati-matian menolak usul Pindaan Akta355 oleh MP Marang dan salah satu alasan penolakannya adalah hakim syarie akan terdedah dengan amalan rasuah jika hukuman penjara di mahkamah sivil ditingkatkan dari 3 tahun penjara kepada 30 tahun.

Beliau selepas itu dengan jelas menyatakan  “kalau dilihat rekod hakim yang ditangkap dan ditahan kerana rasuah, kita boleh tengok sendiri sebenarnya, hakim mahkamah syariah lebih tinggi berbanding hakim mahkamah sivil. Macammana taknya, gaji dia rendah”.

Kenyataan inilah yang menimbulkan kemarahan dikalangan pegawai syariah di Malaysia dan turut disokong oleh para peguam syarie yang turut sama terlibat dalam sistem perundangan syariah.

Susulan itu, Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) pada 14 April 2017 telah membuat satu kenyataan rasmi bagi menangkis dakwaan Rafizi dan mendesak beliau menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf secara terbuka. 

Namun desakan PPSM tersebut dipandang sebelah mata oleh Rafizi. Tiada sebarang respon atau kenyataan balas mahupun ucapan maaf secara terbuka. Seolah-olah perkara tersebut terlalu remeh bagi Rafizi.

Berikutan tiada sebarang jawapan balas dari Rafizi, PPSM telah bertindak membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasa Agama Wilayah Persekutuan pada 27 April 2017 dengan mendapat sokongan dari Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) atas alasan rafizi menghina mahkamah syariah dan pihak berkuasa agama.

Tidak cukup dengan itu, pada 4 Mei 2017, Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah WP telah membuat laporan polis terhadap Rafizi kerana telah memfitnah hakim syarie dan mahkamah syariah dan menuntut beliau disiasat di bawah seksyen 499 Kanun Keseksaan (Fitnah Jenayah).

Tindakan tersebut ternyata membuahkan hasil dan akhirnya Rafizi buat kali pertama sejak isu ditimbulkan memberikan respon. Namun responnya tetap berbaur politik dengan membuat kenyataan bahawa tindakan laporan polis tersebut adalah semata-mata mahu mengheret beliau ke dalam isu melayu dan agama Islam.

Tiada sebarang ucapan maaf dan jelas sekali Rafizi hanya bermain politik dengan mengheret sekali mahkamah syariah dan hakim syarie. Dengan tujuan mahu mendapatkan sokongan bukan Islam, beliau memberikan alasan yang akhirnya memakan diri sendiri.

Tidakkah beliau sedar bahawa ini adalah kali pertama dalam sejarah negara, ketua hakim syarie membuat laporan polis kerana tuduhan fitnah?

Tidak sedarkah beliau bahawa ramai dikalangan pegawai syariah dan peguam syarie yang marah dan berasa terhina dengan kenyataan biadap tersebut?

Satu nasihat kepada Rafizi, mohon maaflah jika tersilap dan jangan anggap orang yang diam itu  akan mendiamkan diri buat selamanya seandainya maruah mereka dipijak-pijak.

FUNGSI BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA (BSK) JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA (JKSM) DALAM MEMPERKUKUH INSTITUSI KEKELUARGAAN

Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ditubuhkan susulan desakan daripada masyarakat khususnya daripada Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) supaya suatu tindakan yang lebih proaktif dan efektif dilaksanakan ke atas individu yang ingkar mematuhi perintah mahkamah.

Y.A.B Perdana Menteri pada 7 Jun 2007 di dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke 47 telah memutuskan supaya JKSM mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu nafkah isteri dan anak.

Berasaskan kepada keputusan tersebut, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) telah ditubuhkan sebagai salah satu unit di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Cadangan untuk mewujudkan Bahagian Sokongan Keluarga ini juga dilihat sebagai satu langkah yang amat bijak dan tepat pada masanya, bagi mengatasi masalah berhubung dengan pelaksanaan perintah.

BSK JKSM ditubuhkan secara rasminya pada 22 Oktober 2008 oleh YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Memberi Khidmat Nasihat Perundangan Dan Rundingcara

Pegawai BSK ditempatkan di semua negeri bagi memudahkan orang awam mendapat khidmat nasihat secara percuma khususnya berkaitan dengan hak dan tuntutan nafkah anak di mahkamah. Khidmat rundingcara turut dilaksanakan bagi mencari jalan penyelesaian yang pantas dalam isu pembayaran nafkah anak.

Melaksanakan Penguatkuasaan Perintah Nafkah

Pegawai BSK turut diberi tauliah sebagai peguam syarie yang bertanggungjawab menguatkuasakan perintah nafkah yang telah dikeluarkan oleh mahkamah. Antara jenis penguatkuasaan yang boleh dilaksanakan adalah sitaan, hiwalah dan perintah pengkomitan.

Menyalurkan Bantuan Dana Pendahuluan Nafkah

Pihak BSK turut menyediakan dana pendahuluan nafkah bagi yang layak. Jumlah dana yang diberikan adalah selama 6 bulan berturut-turut dengan mengambil kira tempoh tersebut adalah cukup untuk proses penguatkuasaan perintah nafkah diselesaikan. Tujuannya adalah bagi meringankan beban ibu dan anak-anak sepanjang proses penguatkuasaan dilaksanakan.

Menjadi Agen Kutipan Balik Dana Pendahuluan Nafkah

Setiap dana pendahuluan nafkah yang diberikan akan di kutip semula dari pihak yang diperintahkan membayar nafkah.

Menyediakan Kemudahan BSK Transit

BSK turut menyediakan rumah Transit bagi memudahkan pihak-pihak yang kurang berkemampuan menghadiri prosiding di mahkamah syariah. Perkhidmatan ini diberikan secara percuma dan keutamaan adalah kepada pelanggan mahkamah syariah yang tinggal di luar kawasan Kuala Lumpur. Pada waktu ini terdapat 2 unit rumah BSK Transit iaitu di Presint 18, Putrajaya dan di Kuarters Kerajaan Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Rafizi Ramli Sanggup Memperlekeh Hakim Syarie Demi Meraih Populariti Di Kalangan Masyarakat Cina

Kuasa politik mampu menenggelamkan kewarasan akal manusia. Itulah ungkapan paling sesuai ditujukan kepada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang kelihatan berterusan berusaha keras mencari seribu satu alasan demi menggagalkan Pindaan Akta 355.

Terkini semasa Sidang Parlimen Rakyat (Sidang Parlimen Olok-olok), Rafizi mengeluarkan satu kenyataan yang melampau terhadap Institusi Perundangan Syariah di Malaysia. Tuduhan yang paling berat adalah dengan menyatakan bahawa bilangan hakim syarie di Malaysia yang di dakwa atas kesalahan menerima rasuah adalah lebih tinggi berbanding hakim mahkamah sivil. Dakwaan ini susulan gaji yang diterima oleh rata-rata hakim mahkamah syariah adalah lebih rendah berbanding hakim mahkamah sivil.

Untuk makluman semua khususnya YB Rafizi, adalah tidak wajar sekiranya membandingkan gaji antara keduanya kerana skim penjawatan adalah berbeza dan ianya ditentukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia. Isu yang utama adalah isu peningkatan bidang kuasa jenayah syariah yang pastinya YB Rafizi sedia maklum.

Peningkatan hukuman ini mesti melalui sidang parlimen kerana ianya merupakan akta yang diluluskan di bawah Parlimen pada tahun 1965. Perlu diingat bahawa isu peningkatan hukuman dengan isu kenaikan gaji adalah isu yang berbeza. Penstrukturan semula skim penjawatan hakim syarie boleh dilaksanakan sekiranya bidang kuasa hukuman ditingkatkan terlebih dahulu. Contoh paling mudah, rata-rata hakim mahkamah rendah syariah di Malaysia pada waktu ini adalah di bawah Gred LS 44. Mungkin selepas pindaan ini berjaya, gred hakim mahkamah rendah boleh ditingkatkan kepada gred LS 48 atau LS52 sesuai dengan kuasa hukuman yang ditingkatkan.

Namun begitu, dakwaan hakim syarie terdedah dengan amalan rasuah kerana menerima gaji kecil adalah sangat melampau. Persoalan yang timbul, adakah YB Rafizi merujuk mana-mana sumber sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut? Jika ada sumbernya, mohon didedahkan kerana tuduhan ini adalah satu fitnah yang sangat memalukan institusi Islam di negara kita. Apa yang jelas, ianya adalah satu alasan tidak munasabah bagi menggagalkan pindaan Akta 355 ini dilaksanakan.

Akta 355 ini bukanlah satu-satunya akta yang dipertingkatkan nilai hukumannya. Akta 574 (Kanun Keseksaan) telah beberapa kali dipinda sesuai dengan keadaan semasa. Penelitian terhadap sejarah pindaan berkenaan jenayah terhadap wanita dalam Kanun Keseksaan telah menunjukkan pindaan telah dibuat pada tahun 1989 serta 2001.

Dalam pindaan tahun 1989, umur mangsa rogol berkanun ditingkatkan dari 14 tahun ke 16 tahun. Pindaan kepada tempoh hukuman penjara jenayah rogol telah ditingkatkan menjadi hukuman minimum bagi rogol ialah 5 tahun dan maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan. Sebelum ini, penalti bagi kesalah merogol diseksa dengan penjara seumur hidup atau dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, atau sebat. Di samping itu, seksyen 354 telah dipinda dengan meningkatkan hukuman maksimum mencabul kehormatan dari 2 tahun ke 10 tahun.

Dalam pindaan 2001, satu seksyen baru telah ditambah iaitu seksyen 376A berkenaan dengan jenayah sumbang mahram. Sebelum ini, kes sumbang mahram dianggap setara dengan rogol.  Jika dibandingkan dengan dulu, hukuman sumbang mahram bertambah berat iaitu minimum 6 tahun dan hendaklah disebat.

Ini adalah contoh pindaan hukuman di mahkamah sivil yang tidak pernah YB Rafizi pertikaikan. Adakah setiap kali pindaan Kanun Keseksaan dilaksanakan, gaji hakim mahkamah sivil akan naik? Adakah kerana Akta 355 ini melibatkan mahkamah syariah dan Agama Islam, YB Rafizi membantahnya kerana tunduk kepada tekanan pengundi-pengundi NON MUSLIM di Parlimen Pandan? Tidakkah YB. Rafizi sedar akta 355 ini tidak di pinda sejak 30 tahun yang lepas?

YB. Rafizi harus sedar bahawa Parlimen menetapkan hukuman maksimum bagi setiap kesalahan, tetapi mahkamah akan menggunakan budi-bicaranya untuk menentukan hukuman yang bersesuaian bergantung kepada fakta kes serta pertimbangan fakta peringanan hukuman.

Cukuplah YB. Rafizi memperlekeh dan menghina Institusi Islam di negara kita kerana ianya hanya merugikan negara, bangsa dan agama kita. Ianya hanya akan menjadi bahan ketawa Ahli Parlimen NON MUSLIM khususnya DAP yang tidak kelihatan pun wakilnya dalam Sidang Parlimen Rakyat tempohari.

Sebatan Syariah Di Malaysia Pernah Dilakukan Di Khalayak Ramai

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan bahawa mahkamah syariah pernah melaksanakan hukuman sebatan cara syariah di tempat awam yang mana ianya dilaksanakan di Mahkamah Tinggi Sivil Tawau, Sabah.
Hukuman sebat tersebut dijalankan ke atas pasangan kerana kesalahan melakukan persetubuhan haram dan turut disaksikan oleh pengamal undang-undang dari mahkamah sivil. Proses sebatan tersebut dijalankan mengikut prosedur sebatan yang termaktub dalam undang-undang dan dilaksanakan oleh pegawai sebatan dari Jabatan Penjara Malaysia.
Tambah beliau, pasangan lelaki dan wanita tersebut disebat sebanyak 6 kali mengikut tatacara sebatan syariah. Datuk Seri Jamil Khir berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Hanipa Maidin (Amanah-Sepang) yang menyatakan hukuman mahkamah syariah tidak menepati syarat kerana tidak pernah melakukan sebarang hukuman sebatan syariah dan tidak dilakukan di khalayak ramai sewaktu sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat pada 23 Mac 2017 yang lalu.
Berdasarkan pemerhatian, sebatan syariah adalah sangat berbeza dengan sebatan jenayah di mahkamah sivil yang mana sebatan syariah tidak melukakan tubuh badan pesalah walaupun dikenakan 6 kali sebatan berbanding satu sebatan sivil yang mampu melukakan kulit punggung pesalah.
Apa yang penting adalah memberi kefahaman kepada masyarakat yang nampak seperti sangat takut kepada sebatan syariah berikutan cadangan Ahli Parlimen Marang pada sesi terakhir Parlimen November lalu untuk meminda akta tersebut bagi menaikkan hukuman maksimum kesalahan syariah kepada penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan, daripada penjara 3 tahun, denda RM5,000 dan 6 sebatan rotan.
Sebagai umat Islam yang berpegang teguh dengan hukum Allah, janganlah kita mempertikaikan apa yang telah diperintahkan olehNya. Hukuman sebatan dalam Islam bukanlah bertujuan menghukum atau menyakitkan pesalah tetapi lebih kepada tujuan memberi kesedaran agar tidak melakukan kesalahan sama pada masa akan datang.
Semoga rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 pada sidang Parlimen kali ini dapat direalisasikan bagi memartabatkan Institusi Kehakiman Syariah di negara kita.
Klik Untuk Melihat Video Sebatan: