Kluster Cadangan Pindaan Akta 355 Bakal Bermesyuarat 19 Oktober 2017

Putrajaya, 16 Oktober 2017: Kluster Cadangan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) bakal mengadakan mesyuarat buat kali pertama pada 19 Oktober 2017 ini.

Mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti Ab. Aziz, Pensyarah, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang telah dilantik mengetuai kluster tersebut sewaktu mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Induk Memperkasa Mahkamah Syariah pada 13 Oktober 2017 di Kompleks Islam Putrajaya.

Perkara tersebut telah diumumkan sendiri oleh Pengerusi JKMMS, Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor dan surat jemputan telah dikeluarkan kepada semua ahli kluster termasuk wakil dari setiap parti politik.

JKMMS ditubuhkan menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Ogos 2017 susulan berlakunya berlakunya polemik di kalangan masyarakat mengenai cadangan Pindaan Akta 355 oleh Presiden Pas, Dato’ Seri Hj Hadi Awang pada sidang parlimen lepas.

Dalam pada itu, objektif penubuhan JKMMS adalah jelas iaitu bagi meningkatkan dan memartabatkan sistem perundangan Syariah selaras dengan kedudukan Islam itu sendiri dalam Perlembagaan Persekutuan.

Untuk rekod, tujuh (7) kluster telah diwujudkan bagi mencapai objektifnya iaitu:

 

(i) Kluster Pengharmonian antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah dipengerusikan oleh YBhg. Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kluster ini ditugaskan mencari jalan penyelesaian kepada konflik antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah ke arah pengharmonian kedua undang-undang berkenaan.

(ii) Kluster Cadangan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang dipengerusikan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti Ab. Aziz, Pensyarah, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kluster ini ditubuhkan bagi mengenal pasti permasalahan yang berbangkit berhubung dengan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] dan undang-undang lain yang berkaitan dan seterusnya mencadangkan apa-apa jalan penyelesaian ke arah menyelesaikan permasalahan tersebut.

(iii) Kluster Pengurusan dan Penstrukturan Mahkamah Syariah yang dipengerusikan oleh Y.A. Prof. Adjung Dato’ Dr. Hj Mohd Naim bin Hj Mokhtar, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah.

Perbincangan kluster ini berkisar tentang penambahbaikan sistem pengurusan dan penstrukturan Mahkamah Syariah yang lebih mantap, dinamik dan memenuhi kehendak serta keperluan semasa.

(iv) Kluster Latihan Hakim dan Pegawai Syariah yang dipengerusikan oleh YBhg. Tuan Mohamad Shakir bin Abdul Hamid, Ketua Pendaftar, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Kluster ini akan membincangkan tentang latihan Hakim dan Pegawai Syariah yang bersistematik ke arah melahirkan Hakim dan Pegawai Syariah yang berpengetahuan tinggi, syakhsiah yang mantap dan tegas dalam melaksanakan tugasnya.

(v) Kluster Pendidikan Undang-undang Syariah dipengerusikan oleh YBhg. Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Bin Nik Mahmood, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Perbincangan kluster ini berkaitan pengwujudan sistem pendidikan undang-undang Syariah yang mantap untuk melahirkan hakim-hakim Syariah, pendakwa-pendakwa Syarie, penguatkuasa-penguatkuasa Syarie, peguam-peguam Syarie dan pentadbir-pentadbir perundangan Islam yang berilmu tinggi dan berdaya saing; dan

(vi) Kluster Halehwal berkaitan Peguam Syari’e dipengerusikan oleh YBhg. Tuan Musa bin Awang, Presiden Persatuan Peguam Syarie bagi membincangkan tentang penambahbaikan semua perkara yang berhubungan dengan hal ehwal peguam Syarie ke arah melahirkan peguam Syarie yang mahir dan profesional.

(vii) Kluster Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah bagi menambahbaik perkara-perkara yang berhubung dengan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah.

Kesemua ketua-ketua kluster telah diarahkan agar dapat segera menggerakkan kluster masing-masing demi memastikan kejayaan penubuhan JKMMS.

Diharapkan semua ahli kluster yang dilantik dapat hadir dan menjadikan kluster ini sebagai medan yang berkesan untuk menyelesaikan sebarang konflik yang timbul.

Advertisements

Kerajaan Tubuh Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS)

Kuala Lumpur, 4 Ogos 2017: Kerajaan hari ini bersetuju untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Khas di peringkat kebangsaan yang dinamakan sebagai Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS).

Keputusan tersebut diumumkan oleh Dato’ Seri Jamil Khir Baharom menerusi satu kenyataan media sejurus mendapat persetujuan dari Mesyuarat Jemaah Menteri.

Menurut beliau, tujuan utama jawatankuasa tersebut ditubuhkan adalah untuk memperkasakan sistem perundangan Syariah secara keseluruhan selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jawatankuasa kali ini merupakan satu platform yang berwibawa dengan penglibatan semua pihak yang terlibat secara langsung dalam sistem perundangan kehakiman syariah antaranya;

  • Wakil Majlis Agama Islam Negeri-Negeri;
  • Ahli-ahli akademik dan cendekiawan; 
  • Wakil Jabatan Peguam Negara;
  • Wakil-wakil aktivis masyarakat; 
  • Mantan pimpinan tertinggi dalam sektor awam; dan
  • Tokoh-tokoh lain yang berwibawa dan berpengalaman dalam hal-hal perundangan di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah

Beberapa kluster bakal diwujudkan menerusi jawatankuasa ini bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan:-

  • Pengharmonian antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah.
  • Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].
  • Pengurusan & Penstrukturan Mahkamah Syariah;
  • Latihan Hakim & Pegawai Syariah;
  • Pendidikan Undang-undang Syariah; dan 
  • Hal-ehwal berkaitan peguam syarie

Penubuhan JKMMS ini turut membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam usaha memperkasakan Mahkamah Syariah secara holistik demi maslahah dan kepentingan umat Islam.