Kerajaan Tubuh Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS)

Kuala Lumpur, 4 Ogos 2017: Kerajaan hari ini bersetuju untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Khas di peringkat kebangsaan yang dinamakan sebagai Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS).

Keputusan tersebut diumumkan oleh Dato’ Seri Jamil Khir Baharom menerusi satu kenyataan media sejurus mendapat persetujuan dari Mesyuarat Jemaah Menteri.

Menurut beliau, tujuan utama jawatankuasa tersebut ditubuhkan adalah untuk memperkasakan sistem perundangan Syariah secara keseluruhan selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jawatankuasa kali ini merupakan satu platform yang berwibawa dengan penglibatan semua pihak yang terlibat secara langsung dalam sistem perundangan kehakiman syariah antaranya;

  • Wakil Majlis Agama Islam Negeri-Negeri;
  • Ahli-ahli akademik dan cendekiawan; 
  • Wakil Jabatan Peguam Negara;
  • Wakil-wakil aktivis masyarakat; 
  • Mantan pimpinan tertinggi dalam sektor awam; dan
  • Tokoh-tokoh lain yang berwibawa dan berpengalaman dalam hal-hal perundangan di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah

Beberapa kluster bakal diwujudkan menerusi jawatankuasa ini bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan:-

  • Pengharmonian antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah.
  • Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].
  • Pengurusan & Penstrukturan Mahkamah Syariah;
  • Latihan Hakim & Pegawai Syariah;
  • Pendidikan Undang-undang Syariah; dan 
  • Hal-ehwal berkaitan peguam syarie

Penubuhan JKMMS ini turut membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam usaha memperkasakan Mahkamah Syariah secara holistik demi maslahah dan kepentingan umat Islam.